Kecoh diperkatakan sejak semalam mengenai penangkapan 6 warganegara Malaysia termasuk seorang penyanyi wanita popular ketika bercuti di Thailand.
Mereka ditahan pihak polis Thailand dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat, bersama kira-kira 6,000 biji pil kuda.
Penangkapan ini mengejutkan ramai terutamanya komposer ternama, Eddie Hamid yang pernah bekerjasama rapat dengan penyanyi berdialek Kelantan tersebut.
Yakin tidak bersalah, mungkin mangsa keadaan
Memetik laporan Harian Metro, Eddie Hamid berkata, dia mengenali penyanyi tersebut sebagai seorang yang berpewatakan baik, lemah lembut dan menghormati orang lain.
Saya terkejut bila mendapat tahu berita penangkapan itu. Sebab selama mengenali penyanyi wanita terbabit, dia seorang yang berpesonaliti baik, cakap lemah lembut, menghormati orang dan senang bekerjasama.
Tambah Eddie, beliau percaya bahawa penyanyi tersebut mungkin ‘terjerat’ kerana berada dalam kumpulan yang salah ketika kejadian berlaku. Eddie turut berharap agar segala urusan penyanyi itu berjalan lancar di Thailand.
Saya yakin dia tidak bersalah. Cuma, mungkin mangsa keadaan sebab dia ke sana secara berkumpulan. Apapun, saya doakan yang terbaik untuk urusan dia di sana.
Komposer lagu Kelantan ini mendoakan semoga semua urusan dipermudahkan kerana umum sedia maklum undang-undang dadah di Thailand tidak seperti undang-undang Malaysia.
Dedahnya lagi, mereka sebenarnya ada dua projek lagu yang bakal dirakam pada Isnin namun terpaksa ditangguhkan disebabkan kejadian ini.
Eddie tidak merancang untuk menggantikan dengan penyanyi lain kerana kes masih di dalam siasatan pihak berkuasa.
#OhmediaNasihat
Dalam hidup ini, kita sering diuji dengan pelbagai dugaan yang tidak disangka-sangka. Setiap dugaan membawa pengajaran dan pengalaman yang mematangkan kita. Kadangkala, seseorang boleh menjadi mangsa keadaan tanpa sengaja. Sentiasa pilih pergaulan yang baik dan jangan terlalu cepat menghukum kerana setiap orang berhak mendapat peluang untuk menjelaskan situasi mereka.