
Trending
Didakwa Tolong Sembunyi Harta Curi Iaitu Dua Ekor Lembu, Pemandu Lori Mengaku Tak Bersalah
Belum reda dengan kes kemalangan maut membabitkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), kini pemandu lori, Rudi Zulkarnain Mat Radi sekali lagi menggemparkan mahkamah dengan pertuduhan baharu iaitu didakwa menyembunyikan harta curi berupa dua ekor lembu.
Memetik laporan Harian Metro tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pertuduhan memindahkan dua ekor lembu curi iaitu seekor jantan hitam baka KK Cross dan seekor jantan putih baka Brahman milik Rozali Ismail.
Didakwa menyembunyikan harta curi – dua ekor lembu

Difahamkan, kejadian berlaku pada 14 April lalu sekitar jam 6 petang di Kampung Kebun Baru, Hutan Melintang.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pemandu lori mengaku tidak bersalah

Tertuduh bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah. Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh.
Namun peguam bela, Mohd Hafizuddin Khan Norkhan merayu agar jaminan dikurangkan memandangkan Rudi sudah berdepan 10 pertuduhan lain, termasuk kes kemalangan FRU.
Tambahnya, tertuduh kini tiada pendapatan kerana lesen telah digantung dan lembu juga telah dipulangkan kepada pemilik asal.
Selepas mempertimbangkan rayuan tersebut, Majistret Naidatul Athirah Azman membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Jun ini.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
