
Oh! Artis
PDRM Sahkan Penangkapan Penyanyi Rap Popular Malaysia Di Laos
Penyanyi rap popular ditahan bawa 86kg ganja! PDRM siasat mereka keldai dadah atau dengan sindiket.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menyiasat sama ada seorang penyanyi rap popular bersama dua rakannya yang ditahan di Vientiane, Laos terlibat dengan sindiket dadah antarabangsa.
Mereka ditahan selepas pihak berkuasa Laos menemui 86 kilogram ganja dalam bagasi yang dibawa. Ketiga-tiga lelaki tempatan itu ditahan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Laos.
Hasil pemeriksaan enam bagasi milik individu itu yang dirampas telah menjumpai 103 bungkusan plastik yang mengandungi dadah jenis ganja.
Lebih mengejutkan, mereka dipercayai dalam perjalanan ke Jerman menggunakan Thai Airways bagi menghantar bekalan dadah itu.
Kini ditahan di penjara Phontong…

Difahamkan, kesemua suspek kini ditahan di Penjara Phontong, Vientiane sementara siasatan lanjut dijalankan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya sedang berhubung dengan pihak berkuasa Laos untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga telah mengesahkan ketiga-tiga individu itu meninggalkan Malaysia pada 22 Mei lalu melalui KLIA.
Namun semakan dengan pihak berkuasa Thailand tidak menunjukkan sebarang rekod keluar masuk ke negara tersebut pada tarikh sama.
PDRM tidak menolak kemungkinan mereka mungkin hanyalah ‘keldai dadah’ yang dipergunakan, namun siasatan masih berjalan dan semuanya akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk tindakan lanjut.
Pssttt! Kalau betul mereka ni keldai dadah, ia jadi satu lagi kisah sedih anak muda yang terperangkap dalam permainan licik sindiket antarabangsa. Tapi kalau mereka memang terlibat, hukuman di negara luar macam Laos memang jauh lebih keras. Sama-sama kita tunggu hasil siasatan penuh dan jadikan kes ni sebagai pengajaran buat semua.
Kredit: Kosmo
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
