Oh! Tidak
Mercedes AMG GT R Rempuh Penghadang Di Litar Sepang, Pemandu Cedera Tulang Belakang
Litar Sepang memang popular dalam kalangan kaki kereta, tapi kalau persiapan tak cukup rapi, padah boleh datang bila-bila masa.
Itulah yang berlaku dalam satu insiden ngeri baru-baru ni bila sebuah supercar Mercedes-Benz AMG GT R merempuh penghadang keselamatan ketika sesi pemanduan di Litar Antarabangsa Sepang.
Memetik laporan WeirdKaya, kereta bernilai lebih RM1.7 juta itu remuk teruk selepas terbabas pada kelajuan tinggi, tapi mujurlah pemandu dan penumpang berjaya diselamatkan walaupun alami kecederaan.
Jeritan cemas sebelum hentaman

Dalam rakaman dashcam yang tular di media sosial, kereta tersebut dilihat laju menghampiri selekoh T15 iaitu antara laluan lurus terpanjang di Sepang.
Dalam video itu, kedengaran pemandu menjerit “Oh fck, there’s no brake” sebelum merempuh penghadang dan berpusing beberapa kali di kawasan berumput.
Tayar juga kelihatan tercampak sejauh beberapa meter dari kereta yang hampir musnah sepenuhnya.
Pemandu pelumba profesional

Menurut maklumat yang dikongsi Azman Nor di Facebook, pemandu merupakan pelumba profesional yang pernah menyertai Motul 12 Hours GT3 Endurance Race dan TCR Macau Grand Prix.
Dalam kejadian tu, dia hanya bertindak sebagai pemandu uji, manakala pemilik kereta berada di tempat penumpang.
Difahamkan, kereta itu dipandu pada kelajuan 229km/j dan mula membrek pada tanda 200 meter, namun sistem brek gagal berfungsi sebelum impak berlaku sekitar 180km/j.
Kegagalan brek punca utama

Walaupun impak sangat kuat, kedua-dua individu berjaya diselamatkan membuktikan kecekapan sistem keselamatan dan penghadang di Sepang.
Jelasnya lagi, kalau situasi sama berlaku di lebuh raya seperti Karak atau NKVE, mungkin lain jadinya.
Pemandu dimaklumkan sistem brek sudah dinaik taraf. Walaupun butiran sebenar belum jelas, kita boleh nampak kegagalan brek di selekoh T15, antara dua laluan lurus terpanjang di Sepang.
Pemandu bagaimanapun mengalami kecederaan pada tulang belakang dan kini masih dirawat di hospital.
Amyrul Bakhtiar Kongsi Kisah Hidup Sebelum Viral Dan Lagu Raja Gelek Perodua | Oh! Podcast Ep26
OH! MEDIA 24/04/2026 7:45 PM