Connect with us

Oh! Media

MBSA Perjelas Isu Laluan Pejalan Kaki Di Stesen LRT3 Shah Alam, Ambil Langkah Segera

Ohmedia pejalan Kaki

Trending

MBSA Perjelas Isu Laluan Pejalan Kaki Di Stesen LRT3 Shah Alam, Ambil Langkah Segera

MBSA jelaskan penyediaan laluan pejalan kaki LRT3 Shah Alam yang dijangka siap berperingkat.

Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman video menunjukkan orang awam mempertikaikan keadaan laluan pejalan kaki di beberapa stesen LRT3.

Rata-rata mempersoalkan tanggungjawab Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam menyediakan laluan pejalan kaki yang selamat untuk pengguna.

MBSA ambil maklum aduan orang ramai

@kaki.jalan.kaki

LRT 3 sudah beroperasi, tetapi kawasan sekitar stesen Stadium Shah Alam, Dato’ Menteri dan Kerjaya masih tiada laluan pejalan kaki yang selamat ke kawasan berhampiran. Sepatutnya Majlis Bandaraya membuat pemeriksaan dan memastikan akses pejalan kaki lengkap sebelum stesen dibuka, bukannya hanya bertindak selepas rakyat membuat aduan. Infrastruktur pengangkutan awam tidak sepatutnya berakhir di pintu masuk stesen sahaja.

♬ original sound – Kaki Jalan Kaki – Kaki Jalan Kaki

Terbaru, MBSA tampil memberi penjelasan berkata, pihaknya sentiasa komited dalam menyediakan kemudahan awam yang selamat, selesa dan mudah diakses.

IKLAN

Jelas MBSA, semasa kelulusan pelan pembangunan stesen-stesen LRT3 pada tahun 2019, pihaknya telah menetapkan syarat penyediaan laluan pejalan kaki bagi menghubungkan stesen dengan kawasan tumpuan, pembangunan komersial serta kemudahan awam di sekitarnya.

Mbsa 1

Bagi Stesen Dato’ Menteri, pelan pembangunan telah diluluskan kepada Prasarana dengan syarat penyediaan laluan pejalan kaki berbumbung selebar minimum lima kaki.

Laluan itu akan menghubungkan stesen berkenaan ke Shah Alam Convention Centre (SACC), Kompleks PKNS serta sepanjang Persiaran Bandaraya sehingga bangunan Maybank.

Menurut MBSA, pembinaan kemudahan tersebut sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2026.

Selain itu, MBSA turut mensyaratkan penyediaan laluan pejalan kaki kepada pembangunan sekitar yang dilaksanakan oleh PKNS, Nexus Pace Sdn. Bhd. dan Starhill Century Sdn. Bhd. bagi melengkapkan rangkaian laluan pejalan kaki di kawasan tersebut.

Bagi Stesen Stadium Shah Alam pula, pelan pembangunan telah diluluskan kepada Prasarana dengan syarat menyediakan laluan pejalan kaki dari Jalan Lontar Peluru 13/39 ke Jalan Tukul Besi 13/41 serta di Persiaran Sukan berhampiran Management and Science University (MSU).

Laluan pejalan kaki sedia ada dari Jalan Tukul Besi 13/41 ke tapak gantian tempat letak kereta turut disyaratkan untuk dinaik taraf.

Syarat sama turut dikenakan kepada pembangunan sekitar melibatkan MSU Aset Sdn. Bhd., PKNS, Fernline Corporation Sdn. Bhd., Moripark Sdn. Bhd. serta Lebaran Prospek Sdn. Bhd. bagi memastikan rangkaian laluan pejalan kaki dapat dibangunkan secara berperingkat.

MBSA ambil langkah segera

Dalam masa sama, MBSA berkata pihaknya memahami keperluan pengguna untuk menikmati kemudahan laluan pejalan kaki yang lebih menyeluruh seiring dengan pengoperasian LRT3.

Sebagai langkah segera, MBSA komited untuk melaksanakan kerja-kerja penyediaan laluan pejalan kaki sejauh 200 meter sebagai sambungan dari Stesen Stadium Shah Alam ke lampu isyarat Persiaran Sukan/Persiaran Akuatik dalam tempoh satu bulan.

Mbsa 2

Manakala bagi penyediaan laluan sambungan dari Persiaran Akuatik ke Aeon Mall, pihak Majlis sedang melaksanakan proses lantikan kontraktor bagi kerja-kerja menaik taraf persiaran tersebut.

MBSA turut memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan serta pihak pemaju bagi memastikan penyediaan rangkaian laluan pejalan kaki di semua stesen LRT3 dalam kawasan pentadbirannya dapat dilaksanakan secara terancang.

Pihak Majlis juga akan terus memantau pelaksanaan kemudahan itu supaya ia benar-benar memberi manfaat kepada pengguna pengangkutan awam.

Pssttt! Harapnya semua kerja naik taraf dan penyediaan laluan ini dapat disiapkan mengikut tempoh yang dimaklumkan, kerana kemudahan sebegini bukan sekadar pelengkap, tetapi keperluan utama untuk warga Shah Alam.

Kredit: Facebook MBSA
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.

** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.

🚀 Baca Yang Paling Best Je.

Setiap jam 8 malam, kami pilih yang paling best dan hantarkan terus.
Percuma. Tak spam. Just the good stuff.

Kongsikan artikel ini:

author avatar
Arini Saleh
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.

Lagi dalam kategori Trending

Ke Atas