Trending
Mahkamah Rayuan Ketepikan Keputusan Mahkamah Tinggi, Ismahalil Dipenjara 30 Tahun Kes Dadah
Ismahalil Hamzah dihukum penjara 30 tahun selepas Mahkamah Rayuan sabitkan kes mengedar dadah.
Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah dijatuhi hukuman penjara 30 tahun bermula hari ini selepas Mahkamah Rayuan berjaya mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Julai 2023 yang melepaskan dan membebaskan Ismahalil daripada pertuduhan mengedar dadah.
Keputusan dibuat panel hakim Mahkamah Rayuan secara sebulat suara
Memetik laporan Harian Metro, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Noorin Badaruddin bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid membuat keputusan tersebut secara sebulat suara.

Menerusi hujahan yang dibacakan Radzi, mahkamah berpandangan terdapat asas mencukupi untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi di peringkat akhir kes pembelaan.
Terdapat kekhilafan menilai secara wajar keterangan pihak pembelaan dan mendapati pembelaan berjaya membangkitkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan. Sebaliknya, kami mendapati responden gagal membangkitkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan dan gagal memintas anggapan pemilikan dan pengedaran dadah berada di bawah kawalannya.
Pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan responden dari pertuduhan.
Susulan keputusan itu, Ismahalil disabitkan atas kesalahan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Peguam Ismahalil, Hermes Media Putra Ibrahim memohon agar mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya.
Menurut peguam, Ismahalil merupakan pencari nafkah tunggal keluarga dan mempunyai tanggungan kewangan yang tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz pula memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara terhadap Ismahalil.
Berdasarkan pertuduhan, pada 27 Ogos 2021, Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju Kuala Lumpur.

