
Trending
Kes Guru Ditemui Reput Dalam Rumah: Ramai Pertikai Pihak Sekolah, Ini Kisah Sebenarnya
Guru ditemui reput di rumah didakwa alami kemurungan. Punca kematian masih disiasat.
Baru-baru ini, tular di media sosial berita seorang guru wanita ditemui meninggal dunia di dalam rumahnya sendiri.
BACA: Mayat Guru Ditemui Sudah Reput Di Rumah Sendiri, Tak Hadir Bertugas Sejak Tahun Lalu
Jasad mangsa ditemui dalam keadaan memilukan dan dipercayai meninggal dunia kira-kira sebulan lalu.
Mangsa pernah alami kemurungan

Terbaru, Buletin TV3 melaporkan mangsa yang berusia 39 tahun dipercayai pernah mengalami kemurungan.
Namun tiada dokumen rasmi hospital sebagai bukti keadaan kesihatan mentalnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, mangsa yang merupakan anak tunggal hidup bersendirian dan ibu bapanya sudah meninggal dunia sejak 2010.
Menurut maklumat, kali terakhir mangsa menghubungi pihak sekolah pada 26 September tahun lalu untuk memaklumkan ketidakhadirannya.
Selepas itu, pihak sekolah cuba menghubungi guru berkenaan sejak 10 November namun gagal. Pihak sekolah terpaksa mencari alternatif untuk mengesan keberadaannya.
Pada 21 November dan 19 Disember 2024, guru besar mengemukakan surat tunjuk sebab atas ketidakhadiran bertugas sepanjang Oktober dan November 2024. Pada 12 Mac, nombor telefon guru itu tidak dapat dihubungi.
Jasad tidak dituntut, pihak sekolah guna pelbagai cara jejak lokasi

Tambahnya, guru tersebut pernah diberikan surat tunjuk sebanyak dua kali kerana tidak hadir bertugas.
Pada 12 Mac pula, pihak sekolah mencuba pelbagai cara termasuk menghubungi beberapa agensi kerajaan seperti JPJ, Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara untuk menjejaki guru terbabit.
Jiran mendakwa tidak melihat guru terbabit pulang ke rumah, malah banyak dokumen dilihat bertaburan di tingkap dan pintu rumah.
Sehingga 13 Jun lalu, jasad mendiang masih berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana tiada waris tampil untuk menuntut. Buat masa ini punca kematian mendiang masih dalam siasatan.
Pssttt! Ramai yang salahkan pihak sekolah sebelum ini, ternyata ini kisah sebenarnya.
Kredit: Buletin TV3
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.
