Connect with us

Oh! Media

Ejek Mengejek Didakwa Punca Gaduh Tepi Jalan, Polis Cari Saksi Dan Individu Terlibat

Trending

Ejek Mengejek Didakwa Punca Gaduh Tepi Jalan, Polis Cari Saksi Dan Individu Terlibat

Tular di media sosial rakaman video memaparkan pergaduhan di antara seorang lelaki dan beberapa individu sehingga menyebabkan lelaki itu dibelasah beramai-ramai. Kejadian yang berlaku di Jalan Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan itu dipercayai berpunca daripada ejek mengejek.

ADVERTISEMENT

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata dalam kejadian jam 5 petang itu, seorang lelaki berusia 30 tahun dikatakan sedang berjalan kaki baru pulang dari tempat kerja. Dia mendakwa dihampiri kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki seorang lelaki dan tiga wanita.

Kejadian dikatakan bermula apabila pemandu lelaki itu dikatakan membunyikan hon sebelum memberhentikan kenderaannya.

Dari sini berlaku pertengkaran dan ejek-mengejek antara kedua belah pihak dan kenderaan itu juga ditendang oleh mangsa seperti dirakam video yang tular berkenaan.

Mangsa mendakwa mengalami bengkak di bahagian muka serta badan selepas dipukul suspek dan beberapa individu tidak dikenali termasuk seorang wanita.

Menurut Abdul Rahim, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes bagi mengetahui punca sebenar kejadian. Tambahnya, satu pihak lagi masih belum tampil membuat sebarang laporan. Pihaknya meminta sesiapa yang menyaksikan serta merakam kejadian hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membantu siasatan.

Dimaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan saksi serta mereka yang terbabit sedang dijalankan.

Kredit: Harian Metro

+ Baca respon pembaca di Facebook Oh! Media

Lagi dalam kategori Trending

Ke Atas