Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah peribahasa yang sesuai digambarkan kepada seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun apabila menerima pelbagai cabaran untuk melawat anaknya.
BACA: Bapa Dituduh Kedekut Gara-Gara Buat Sendiri Pelamin Anak, Ini Kisah Sebenarnya..
Hal itu selepas dia mengetahui anaknya mengalami kemalangan jalan raya ketika menuntut di Melaka. Tanpa berfikir panjang, dia terus bergerak ke Melaka dari Kedah dengan berbekalkan duit hasil menoreh getah.
Kisah sedih itu dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok bernama Wh99z_ dan kisahnya bermula apabila dia ternampak seorang pak cik tua yang melambai-lambai ke arahnya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keruh.
Dia yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur bagaimanapun berhenti dan pak cik tersebut meminta untuk ditumpangkan ke hentian Nilai.
Menurut pak cik tersebut, tujuannya datang dari Alor Setar adalah untuk melawat anaknya yang berusia 24 tahun dan masih belajar di Melaka. Hal itu selepas dirinya menerima khabar duka apabila anaknya mengalami kemalangan semasa menunggang motosikal.
Tambahnya lagi, anaknya masih dalam keadaan koma selepas mengalami kecederaan yang serius seperti patah kedua-dua belah tangan, leher dan kecederaan pada kepala.
Kehabisan duit selepas tiga hari di Melaka, mahu pulang kumpul duit
Menerusi perkongsian itu, pak cik tersebut dikatakan telah menetap di Melaka selama 3 hari bagi melihat anaknya. Namun semua wang simpanannya telah habis digunakan.
Tambahnya lagi, dia mengambil alternatif dengan menumpang kenderaan orang dari hentian ke hentian hinggalah sampai ke Alor Setar untuk mengumpul duit hasil dari menoreh getah dan datang semula ke Melaka.
Lebih memeritkan, dia hanya mempunyai seorang abang dalam hidupnya dan telah meninggal dunia. Walaupun masih mempunyai kakak ipar, namun keberadaanya masih tidak diketahui.
Sedih akan kisahnya, lelaki tersebut nekad mengajaknya makan sebelum menghantarnya ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) serta memberikan sedikit duit belanja.
Mengakhiri ulasannya, dia berharap agar segala urusan pak cik tersebut dipermudahkan selain mendoakan kesembuhan kepada anaknya.
Netizen beri pelbagai reaksi
Menjengah pada ruangan komen, rata-rata netizen turut sebak melihat perkongsian itu selain memuji niat murni lelaki tersebut menolong seseorang yang dalam kesusahan.
Setakat ini, perkongsiannya itu telah mencapai lebih daripada 1 juta jumlah tontonan serta mendapat 246,100 tanda suka.
Kredit: TikTok wh99z_
+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media