Trending
Anthony Loke Teruskan Tugas Rasmi Di China Sebelum Uruskan Urus Peletakan Jawatan
Anthony Loke teruskan program rasmi di China termasuk mesyuarat APEC sebelum kembali ke Malaysia untuk urus proses peletakan jawatan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan meneruskan program rasmi di China seperti yang dijadualkan bagi mewakili Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-12 di Beijing dari hari ini hingga esok.
Menurut laporan Harian Metro, perkembangan itu berlaku ketika Loke sebelum ini menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Dua MoU bakal dimeterai di China

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), lawatan Loke turut melibatkan beberapa pertemuan dua hala serta pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU).
MoU berkenaan merangkumi kerjasama pengangkutan antara Malaysia dan China dalam sektor darat, rel, maritim, penerbangan serta logistik.
Satu lagi MoU pula melibatkan kerjasama keselamatan penerbangan antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC).
MoU CAAM-CAAC merangkumi bidang seperti kelayakan udara, pensijilan organisasi penerbangan, pelesenan personel, pengawasan operasi serta pengiktirafan bersama dapatan dan sijil pematuhan.
Selesai program Beijing, Anthony Loke ke Shanghai

MOT memaklumkan selepas menyelesaikan program rasmi di Beijing, Loke dijadualkan ke Shanghai untuk menyertai rombongan Perdana Menteri.
Selepas itu, beliau akan kembali ke Malaysia bagi menguruskan perkara berkaitan proses peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
MOT turut menegaskan segala urusan dan tanggungjawab kementerian akan diteruskan seperti biasa.
MOT akan terus memastikan segala urusan dan tanggungjawab kementerian dilaksanakan seperti biasa secara profesional dan teratur.
Pada Sabtu lalu, Loke menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian DAP berhubung isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut laporan Bernama, Loke sebelum ini berkata surat peletakan jawatan akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, sehingga kini, keputusan berhubung tawaran peletakan jawatan tersebut masih belum dimuktamadkan. Anwar berkata beliau akan bertemu Loke untuk mendengar pandangan beliau sebelum membuat keputusan.
Nota Oh! Media:
Walaupun berlaku perkembangan politik, urusan kerajaan dan kementerian tetap perlu berjalan seperti biasa. Apa jua keputusan mengenai jawatan seseorang pemimpin, yang penting segala urusan melibatkan kepentingan rakyat terus dilaksanakan dengan teratur.
Sumber: Harian Metro
Ikuti Perbincangan: Whatsapp, Facebook, Threads dan Instagram.
