
Oh! Arena
Amad Diallo Tunjuk Isyarat Lucah Di KL, Dedah Ibu Dihina Peminat
Amad Diallo tunjuk isyarat lucah pada penyokong di KL, dedah dihina tentang ibunya.
Panas di pentas bola sepak antarabangsa apabila pemain sayap Manchester United, Amad Diallo, mencetuskan kontroversi sewaktu berada di Kuala Lumpur apabila menunjukkan isyarat lucah kepada peminat tempatan.
Kejadian ini berlaku selepas pasukannya tewas kepada ASEAN All-Stars dalam perlawanan jelajah pasca musim.
Tunjuk jari tengah, Amad Diallo beri penjelasan…

Dalam satu video yang tular di media sosial, Diallo yang berusia 22 tahun dilihat berjalan melepasi sekumpulan penyokong sambil menunjukkan isyarat jari tengah yang pastinya mengejutkan ramai, terutamanya penyokong tempatan.
Saya hormati orang lain tetapi tidak kepada yang menghina ibu saya. Saya tidak patut bertindak sebegitu tetapi saya tidak kesal dengan apa yang saya lakukan.- Kata Amad Diallo di X.
Diallo menjelaskan bahawa tindakannya itu berpunca daripada satu penghinaan terhadap ibunya, yang jelas menyinggung perasaannya sebagai seorang anak.
United dikecam, Amorim minta pemain hadap penyokong…
Insiden ini berlaku susulan kekalahan 1-0 Manchester United kepada ASEAN All-Stars, yang mencetuskan kemarahan dan ejekan daripada para penyokong. Ketika ramai pemain kelihatan kecewa dan tergesa-gesa meninggalkan padang, pengurus Ruben Amorim menegaskan bahawa pasukan itu seharusnya tidak melarikan diri daripada peminat mereka.
Untuk rekod, Manchester United menamatkan Liga Perdana Inggeris musim ini di tangga ke-15 – satu keputusan yang mengecewakan buat kelab besar seperti mereka.
Pssttt! Emosi kadang-kala boleh menyebabkan kita bertindak luar kawalan, lebih-lebih lagi apabila keluarga dihina. Namun, sebagai figura awam, terutamanya pemain bola sepak bertaraf antarabangsa, tanggungjawab moral dan profesionalisme perlu dijaga. Biarlah balas dengan prestasi, bukan isyarat jari.
Kredit: Berita Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
