Oh! Tidak
Wanita Kena Bayar RM1,080 Selepas Suami Tak Sengaja Pecahkan Tester Minyak Wangi
Wanita terpaksa bayar RM1,080 selepas suami tak sengaja pecahkan tester minyak wangi.
Seorang wanita mencuri perhatian ramai selepas berkongsi pengalaman tidak dijangka ketika masuk ke sebuah butik minyak wangi mewah di IOI City Mall, Putrajaya.
Menerusi perkongsian di Threads, wanita itu menceritakan suaminya secara tidak sengaja telah menjatuhkan sebotol tester minyak wangi sehingga pecah.
“Titik terendah hari ni”
Wanita itu berkata, mereka pada awalnya cuba bertenang walaupun seorang pelanggan lain yang berada di kedai tersebut dilihat terkejut dengan kejadian itu.

Dia kemudian bertanya kepada suaminya berapa harga perfume yang pecah, sebelum diberitahu nilainya melebihi RM1,000.
Menurutnya, kakitangan butik terus mengambil gambar botol yang pecah dan membersihkan serpihan kaca berkenaan.

Dalam perkongsian lanjut, wanita itu berkata kakitangan butik berkenaan melayan mereka dengan baik dan turut memohon maaf.
Dia dan suami juga meminta maaf atas kejadian tersebut, namun cuba meminta diskaun kerana botol yang pecah merupakan tester dan tidak penuh.
Ramai dah pecahkan sebelum ni

Mereka akhirnya diberikan diskaun sebanyak 20 peratus dan tetap membayar kerana mengakui kesalahan sendiri. Kongsinya lagi, kejadian itu didakwa sudah beberapa kali berlaku di kedai yang sama disebabkan keadaan raknya.
Walaupun akur dengan pembayaran tersebut, wanita itu mengakui dia tetap berasa terkilan kerana terpaksa membayar namun tidak mendapat perfume yang pecah itu.

Katanya, jika dapat sedikit sahaja baki perfume tersebut pun sudah memadai sebagai ‘kenangan’ selepas membayar jumlah yang besar.
Dia turut bertanya jika ada free gift sebagai tanda mereka membeli, namun hanya diberikan tester bersaiz kecil.
Susulan perkongsian itu mendapat perhatian ramai, wanita tersebut memaklumkan dia sudah menghantar maklum balas di laman web selepas ramai yang mencadangkannya berbuat demikian.
Tidak lama kemudian, dia turut menerima WhatsApp dan panggilan daripada wakil syarikat dikenali sebagai Miss Hannah.

Wanita itu turut menjelaskan tujuannya berkongsi pengalaman berkenaan hanyalah untuk bercerita tentang kejadian yang berlaku pada hari tersebut dan tidak menyangka ia mendapat begitu banyak perhatian.

