Connect with us

Oh! Media

Luahan Rakyat: “PKP Masih Diteruskan & Ramai Terus Tersepit, Takkan Nak Harapkan i-Sinar 2.0 Pula?”

Trending

Luahan Rakyat: “PKP Masih Diteruskan & Ramai Terus Tersepit, Takkan Nak Harapkan i-Sinar 2.0 Pula?”

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan atau lebih popular dengan nama PKP berkuatkuasa 18 Mac 2020, rakyat Malaysia dihimpit dengan pelbagai dilema, baik dari segi pekerjaan, kewangan, hubungan kekeluargaan, dan banyak lagi. Masing-masing berhadapan masalah yang dilihat seperti tiada kesudahan.

ADVERTISEMENT

Berikut kami kongsikan pandangan dari salah seorang pengikut Ohmedia yang menyatakan rasa kebimbangannya terhadap apa yang berlaku pada waktu ini.

Tahun 2020 sememangnya malap, dan rakyat Malaysia mengharapkan tahun 2021 lebih bersinar dan penuh pengharapan. Malangnya, tanggapan kita semua salah sama sekali. Rupa- rupanya, tahun 2021 ini jauh lebih buruk berbanding tahun 2020, dan kita belum pun lagi menjengah setengah tahun. Persoalannya sekarang, apa lagi harapan yang ada untuk rakyat Malaysia?

Keadaan kini kian terdesak. Sejak tahun lepas, kerajaan membuka peluang kepada rakyat untuk mengeluarkan sedikit dana daripada Akaun 1 simpanan KWSP bagi meringankan beban. Seperti yang dijangka, segelintir rakyat yang terkesan pendapatan berpusu-pusu untuk mendapatkan bantuan ini demi kelangsungan hidup. Jangan kata yang terkesan, yang tak ada kena mengena pun turut sama memohon dan mengambil kesempatan. Maklumlah, siapa tak nak duit poket lebih, RM10,000 pula tu!

Kita semua tahu bahawa i-Lestari dan i-Sinar bertujuan untuk membantu rakyat yang terjejas teruk oleh wabak pandemik Covid-19. Namun begitu, dana ini bersifat jangka pendek dan langsung tidak memberi apa-apa jaminan. Dan kini, kebanyakan dana yang dikeluarkan itu telah pun kehabisan. Kat mana lagi rakyat nak harapkan bantuan?

Kerajaan perlu mencari jalan terbaik kerana tabungan KWSP itu sepatutnya bertindak sebagai dana pencen, bukan dana bencana.

Tahukah anda bahawa 32% pencarum mempunyai baki RM1,000 sahaja sebelum i-Sinar diumumkan? Bermakna, golongan ini hanya mampu mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM900 sahaja, dan baki kini hanya tinggal RM100. Jumlah RM900 itu sememangnya tidak cukup untuk menampung kos bagi mengekalkan gaya hidup seharian.

Manakala secara keseluruhan, terdapat 42% pencarum yang mempunyai baki RM5,000 ke bawah di dalam Akaun 1.

PKP sepatutnya tidak boleh dijadikan alasan untuk rakyat menghabiskan dana pencen mereka. Sebaliknya, rakyat Malaysia harus lebih dilengkapi dengan kemahiran menabung dan harus lebih bersedia jika situasi buruk berlaku. Sekarang ini, situasi buruk sudah pun berlaku tetapi majoriti rakyat tetap tidak bersedia. Jadi, adakah kita sudah terlambat?

Ramai boleh berhujah bahawa kita mempunyai banyak pilihan atau option dalam mencari nafkah untuk mengekalkan gaya hidup harian. Dan semenjak PKP, jelas sekali kita lihat Ekonomi Gig semakin berkembang pesat dan bercambah seperti cendawan. Pekerjaan seperti rider Foodpanda atau GrabFood, dan penghantar barangan Lalamove menjadi pilihan, malah ramai juga yang memulakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah seperti menjual makanan dan minuman, menjadi agen produk-produk tempatan, menyediakan khidmat sanitasi, dan macam- macam lagi.

Ekonomi Gig itu bagus, Namun satu keburukan yang ada pada industri ini ialah mereka yang memilih jalan ini hanya memperoleh gaji harian berdasarkan pekerjaan dan tidak mempunyai faedah seperti KWSP atau PERKESO. Sudahlah dana pencen dikorbankan, ia juga tidak dapat diisi semula dengan pekerjaan Ekonomi Gig ini.

Rakyat sudah pun berhempas pulas demi sesuap nasi. Kita semua perlu memikirkan cara untuk kelangsungan hidup dan pihak kerajaan perlu berusaha lebih keras dalam menyediakan bantuan kepada rakyat secara terus-menerus.

Setakat ini pihak kerajaan telah cuba memberikan i-Sinar, i-Lestari, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), moratorium 6 bulan, dan lain-lain yang telah diumumkan. Tapi semua usaha ini adalah bersifat jangka pendek dan sememangnya tidak mampu memberi kemampanan terhadap ekonomi rakyat. Jadi diharapkan akan lebih banyak perancangan jangka masa panjang diumumkan kelak.

Kerajaan juga baru-baru ini mengumumkan skim bantuan rakyat yang dipanggil PEMERKASA. Tetapi pada pemerhatian ramai, bantuan ini bersifat ‘separuh masak’ kerana ia tidak merangkumi seluruh rakyat. Contohnya hanya golongan B40 yang layak menikmati moratorium tambahan selama 3 bulan, manakala golongan lain dipinggirkan. Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebanyak RM500 untuk isi rumah dan RM100 untuk pelajar juga diberi namun dilihat terlalu sedikit dan hanya mampu menampung gaya hidup untuk tempoh seminggu sahaja.

Cukupkah setakat itu sahaja?

Rakyat ingin tahu, apakah rancangan atau pelan jangka panjang dari kerajaan untuk melindungi, mengangkat, dan memacu rakyat Malaysia ke hadapan selepas semua ini berakhir. Kes naik mendadak mencecah lebih 8,000 sehari dan rakyat perlu menanggung bebanan demi bebanan yang tidak berkesudahan. Sampai bila rakyat nak kena tanggung?

Sepatutnya, kerajaan tidak boleh membenarkan dana KWSP dikeluarkan dan ianya tidak boleh disentuh langsung. Cuba tanya semula pada diri sendiri, kenapa kita mempunyai dana pencen di dalam KWSP? Simple, sebab kita telah ‘dipaksa’ untuk menyimpan menerusi potongan gaji secara automatik oleh majikan, dan majikan juga memberi caruman setiap bulan kepada setiap pekerja. Jika tidak dipaksa sebegini, anda rasa kita semua akan ada dana untuk menyara kita di hari tua nanti? Jawapannya adalah tidak.

Ini kerana majoriti rakyat masih mempunyai sikap acuh tak acuh dalam menabung dan menyimpan. Kebanyakan daripada kita hidup terlalu bergantung kepada gaji tiap-tiap bulan. Gaji bulan ini masuk, bulan depan wang itu semuanya lesap. Kemudian tunggu lagi gaji seterusnya masuk, dan cycle ini akan berterusan sampai bila-bila.

Menakutkan, bukan? Ya, trend ini amat menakutkan dan inilah realiti kehidupan kebanyakan rakyat Malaysia. Masalah ini sudah sekian lama terpatri dalam gaya hidup kita semua. Walaupun kesedaran tentang menabung semakin meningkat dan masyarakat sekarang semakin celik kewangan, perjalanan masih jauh untuk negara mencapai struktur simpanan kewangan rakyat yang stabil dan mampan.

Bagi mencapai misi itu, kita semua perlu mempunyai corak pemikiran untuk menyimpan sebahagian daripada pendapatan demi masa depan seperti caruman sendiri ke dalam dana persaraan (KWSP).

Banyak juga persoalan yang cuba disampaikan tetapi akhirnya ia berbalik kepada kita sendiri untuk sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan. Sememangnya banyak perkara yang kita dapat belajar dari apa yang berlaku sekarang dan diharapkan pihak kerajaan juga dapat belajar dengan cuba merancang apa yang terbaik untuk membantu rakyat.

Jika anda ada sebarang perkongsian yang ingin diberikan kepada kami boleh maklumkan secara terus di Facebook Ohmedia.

Comments

Lagi dalam kategori Trending

Ke Atas