Oh! Negara
Had Perlindungan Bil Elektrik Dinaikkan Kepada 800 kWj Hingga Hujung Tahun
Perlindungan bil elektrik kini diperluas sehingga 800 kWj sebulan bagi pengguna domestik hingga 31 Disember 2026.
Buat korang yang sejak kebelakangan ini terkejut tengok bil elektrik makin tinggi, ada sedikit kelegaan diumumkan kerajaan.
Had penggunaan yang menerima perlindungan bil elektrik kini dinaikkan daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan, berkuat kuasa bagi penggunaan mulai September hingga 31 Disember 2026.
Had dinaikkan susulan penggunaan meningkat

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, cuaca lebih panas serta keadaan jerebu kebelakangan ini menyebabkan sebahagian isi rumah menggunakan lebih banyak elektrik sehingga melepasi paras 600 kWj. Keadaan itu turut menyebabkan ada pengguna berdepan kenaikan bil yang luar biasa.
Langkah ini diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat saat ini.- Katanya.
Dengan had baharu itu, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan mendapat pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Kerajaan terus pantau tarif elektrik

Anwar berkata kerajaan akan terus melihat perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa sebelum sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik dibuat.
Beliau turut menghargai peranan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga yang membolehkan langkah itu dilaksanakan dengan segera.
