Connect with us

Oh! Media

PRU-15 Kian Terasa, Ini 6 Pemimpin Muda Berkaliber Yang Patut Diberi Perhatian

Oh! Negara

PRU-15 Kian Terasa, Ini 6 Pemimpin Muda Berkaliber Yang Patut Diberi Perhatian

Debaran kian terasa, tinggal lebih kurang dua hari je lagi kita nak mengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Korang dah bersedia nak pilih tampuk kepimpinan yang baharu untuk negara kita yang tercinta ni?

ADVERTISEMENT

BACA: Tergempar! Pembubaran Parlimen Bakal Berlaku Petang Ini?

Tapi, mesti ada satu benda yang bermain di fikiran anak muda apabila mereka yang berumur 18 tahun akan mula mengundi buat kali pertama pada PRU-15 kali ini.

Mesti mereka jadi tertanya-tanya dan keliru siapakah pemimpin yang terbaik untuk mereka pilih nanti kan? Jom baca perkongsian menarik kiriman Farouq Johari ini gang.

Kelahiran pemimpin muda berkaliber

Di kala arena politik di negara kita ini menjadi semakin mencabar, dapat kita lihat lahirnya ramai pemimpin muda berkaliber yang bakal membantu menerajui tanah air satu hari nanti.

Pemimpin-pemimpin muda yang ada di kancah politik ketika ini dilihat mampu untuk mengganti tampuk kepimpinan yang ada dengan lambakan idea yang lebih kreatif dalam usaha membantu Malaysia untuk bergerak lebih jauh dan dan maju kedepan.

1. Nurul Izzah Anwar – Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga merupakan anak kepada Mantan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini juga lebih dikenali dengan gelaran Puteri Reformasi.

Beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai (Mac 2008 – Mei 2018) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh (Disember 2018 – Julai 2019) itu mempunyai pencapaian yang memberangsangkan selepas dipilih sebagai Wanita Paling Berpengaruh pada tahun 2018 serta pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (Disember 2018 – Julai 2019).

Sumbangan yang pernah dilakukan Nurul Izzah:

  • Menubuhkan pusat rawatan ketagihan dadah di 3 buah masjid di Permatang Pauh yang menyediakan rawatan naltrexone sebagai cara membantu penagih mengatasi ketagihan.
  • Melancarkan Permatang Pauh Women’s Project (PPWP) bagi membangunkan dan memperkasakan wanita tempatan melalui latihan peningkatan kemahiran dan keusahawanan dengan motif untuk menyediakan peluang pekerjaan, kestabilan kewangan, dan jaminan pekerjaan.

2. Khairy Jamaluddin – Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)

Khairy Jamaluddin merupakan antara pemimpin muda berkaliber yang menjadi pilihan rakyat selepas dilihat sangat bagus dalam menjalankan tugasnya ketika menyandang beberapa jawatan sebagai menteri di dalam kabinet.

Jawatan yang pernah Khairy Jamaluddin:

  • Ahli Parlimen (MP) Rembau (Mac 2008 – November 2022).
  • Menteri Belia dan Sukan (2013 – 2018).
  • Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan 2021.
  • Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mac 2020 – Ogos 2021).
  • Menteri Kesihatan Malaysia (Ogos 2021 – semasa).

Selain itu, antara pencapaian yang pernah dilakukan Khairy ialah, beliau berjaya menerajui vaksinasi COVID-19 Malaysia pada tahun 2021 serta menjadikan Malaysia sebagai negara tertinggi dunia yang memberikan vaksin Covid-19 kepada golongan remaja.

Bukan sahaja hebat berpolitik, malah Khairy yang mesra disapa KJ itu juga hebat bersukan selepas beliau merupakan salah seorang penyumbang pingat emas buat kem negara dalam acara Polo Ekuestrian ketika Temasya Sukan Sea 2017 yang lalu.

Sumbangan yang pernah dilakukan Khairy Jamaluddin:

  • Menetapkan harga siling untuk vaksin Sinovac dan Sinopharm.
  • Pembukaan semula sempadan antara Malaysia dan Singapura.

3. Hannah Yeoh – Democratic Action Party (DAP)

Hannah Yeoh merupakan Ahli Parlimen Segambut yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika di bawah tampuk kepimpinan Pakatan Harapan.

Sepanjang diberikan tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Hannah dilihat berjaya membantu golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi ketika itu negara sedang menghadapi wabak Covid-19.

Antara sumbangan dilakukan Hannah Yeoh:

  • Menyampaikan bantuan makanan dan dana kepada mereka yang memerlukan dan yang paling teruk terjejas akibat COVID-19.
  • Penceramah wanita pertama Malaysia untuk Dewan Undangan Negeri Selangor (2013 – 2018).
  • Dinobat sebagai salah seorang Pemimpin Muda Global paling berpengaruh pada Forum Ekonomi Dunia tahun 2018.

4. Shahril Hamdan – Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)

Shahril Hamdan juga antara pemimpin muda yang merupakan pelapis hebat buat tampuk kepimpinan negara kita.

Beliau yang merupakan calon Parlimen Alor Gajah pada PRU-15 ini merupakan lepasan Sarjana (Masters) London School of Economics and Political Science dalam bidang Sosiologi (Bangsa, Etnik dan Pengajian PascaKolonial).

Antara pencapaian dilakukan Shahril Hamdan:

  • Pengarah Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri di bawah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sejak Oktober 2021.
  • Ketua Penerangan UMNO dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

5. Prabakaran – Parti Keadilan Rakyat (PKR)

P. Prabakaran yang merupakan Ketua Pemuda PKR Cawangan Wilayah Persekutuan telah memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Batu sejak dari tahun 2018 hingga kini.

Antara pencapaian yang dipegang P. Prabakaran ialah beliau memenangi kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-14 ketika baru sahaja berusia 22 tahun dan merupakan Ahli Parlimen termuda dalam sejarah Malaysia selepas mula dilantik pada usia 22 tahun 90 hari.

6. Syed Saddiq – Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)

Siapa tak kenal dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2018 yang lalu.

Sepanjang penglibatan Syed Saddiq dalam kancah politik, beliau pernah menerima Anugerah Inspirasi Lelaki NONA bagi Anugerah Superhero Nona 2021 dan tersenarai sebagai calon bagi anugerah One Young Politician World 2020 anjuran organisasi global, One Young World.

Bukan itu sahaja, di usianya yang baru sahaja mencecah 29 tahun, beliau telah menubuhkan parti politik berbilang kaum yang mengutamakan belia, iaitu parti Ikatan Demokratik Malaysia atau Malaysia United Democratic Alliance (MUDA) pada 23 Disember 2021.

Antara sumbangan dilakukan Syed Saddiq:

  • Menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), usaha yang digelar sebagai “Undi18”.
  • Membawa tenaga positif dan idealisme moden kepada negara, sambil memperjuangkan kepelbagaian dan inovasi.
  • Mahu menambah baik sistem pendidikan yang mampu melahirkan belia yang pintar, cerdas dan kritis; yang boleh menjadikan mereka pemimpin yang berkaliber dalam ekonomi global.

Tak kira siapa pun pilihan kita, yang penting pada 19 November ini, kita sama-sama turun mengundi bagi menentukan masa depan negara kita. Ayuh bangkit anak muda!

Kredit: Farouq Johari

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media

Lagi dalam kategori Oh! Negara

Ke Atas