Oh! Negara
Syed Saddiq Sujud Syukur, Menangis Akhirnya Bebas Selepas 6 Tahun Berjuang
Syed Saddiq dilihat menangis dan sujud syukur selepas keputusan diumum.
Selepas 6 tahun berjuang, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya dibebaskan daripada empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) yang melibatkan dana Armada.
BACA: Syed Saddiq Kekal Bebas Dalam Kes Dana Armada 2-1
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Syed Saddiq berpegang kepada prinsip berani kerana benar

Memetik laporan Berita Harian, Syed Saddiq dilihat sujud syukur dan menangis sejurus keputusan dibuat. Beliau juga dilihat memeluk ibunya, Sharifah Mahani.
Manusia boleh merancang Allah SWT yang menentukan. Dan saya rasa di sebalik ujian dan rintangan ada sebab kenapa ujian tu ke atas kita. Apabila saya imbas semula, permulaan 6 tahun yang lepas dari awal diheret ke mahkamah dan masih di peringkat siasatan saya tidak tunduk, tidak takut, tidak guna jalan pintas, tidak guna layanan istimewa kerana saya tahu saya di pihak yang benar, saya tak buat kesilapan. Saya pegang kepada prinsip berani kerana benar.
Menurut Ahli Parlimen ini, dia berpegang kepada prinsip berani kerana benar walaupun mengambil masa enam tahun untuk membersihkan namanya.
Katanya, tuduhan itu bukan setakat memberi kesan kepada diri tetapi kepada seluruh ahli keluarganya termasuk sahabat-sahabat.
Syed Saddiq mahu selesaikan hal peribadi
Ketika ditanya perancangannya dalam dunia politik, Syed Saddiq berkata, buat masa ini dia mahu meluangkan masa bersama keluarga terlebih dahulu dan menyelesaikan beberapa perkara peribadi.
Syed Saddiq juga sempat berterima kasih kepada tunangnya, Bella Astillah yang kekal setia meskipun keputusan sebelum ini tidak berpihak kepadanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mendedahkan telah mendapat kebenaran ibu bapanya untuk ke peringkat seterusnya bersama Bella Astillah.
Dia juga merancang untuk membuat kenduri kesyukuran bersama warga Muar yang tidak pernah berputus asa dengannya. Jelasnya, dia sangat berhutang budi masih dipilih sebagai Ahli Parlimen bagi penggal kedua walaupun dia disabitkan dengan prima facie.
Pssttt! Alhamdulilah, akhirnya Syed Saddiq bebas pertuduhan dan boleh rancang masa depan dengan tunang tersayang, Bella Astillah.
Kredit: Berita Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.

