Connect with us

Oh! Media

Syed Saddiq Didakwa Atas Dua Pertuduhan, Mengaku Tidak Bersalah

Oh! Negara

Syed Saddiq Didakwa Atas Dua Pertuduhan, Mengaku Tidak Bersalah

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini telah dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Rasuah, di Kuala Lumpur atas dua pertuduhan iaitu membabitkan penyelewengan dana politik dan menyalahgunakan wang sumbangan kempen Pilihan Raya Umum ke-14.

ADVERTISEMENT

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas sebuah dana yang mana telah membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 Juta melalui satu cek bank tempatan, tanpa kelulusan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika disabit kesalahan.

Manakala pertuduhan kedua, Syed Saddiq dituduh menyalahgunakan harta iaitu wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akuan Maybank Islamic Berhad milik Armanda Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018 dan beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

Manakala, Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Datuk Ambiga Sreenevasan.

Walaubagaimanapun, Hakim Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 bagi kesalahan pertama dan RM30,000 bagi kesalahan kedua. Azura turut memerintahkan Syed Saddiq agar menyerahkan pasportnya serta mengarahkan untuk melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Tarikh sebutan semula kes akan ditetapkan ada 10 September depan.

Kredit: Kosmo I Harian Metro

+ Baca respon pembaca di Facebook Oh! Media

Lagi dalam kategori Oh! Negara

Ke Atas