Oh! Negara
“Kalau Betul Saya ‘Sakau’, Tahun 2018 Lagi Tun Dr Mahathir Dah Penjarakan Saya” – Azeez Rahim
Abdul Azeez sedia disiasat semula isu RCI Tabung Haji.
Nama bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kembali menjadi perhatian apabila beliau tampil menjawab isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang kembali diperkatakan.
BACA: “Siapa Orang Politik UMNO Dikatakan Sakau?” – Akmal Saleh Respon Isu Laporan RCI Tabung Haji
Bukan sekadar menafikan dakwaan wujud tindakan ‘menyakau’ wang pendeposit, Azeez Rahim turut menegaskan beliau tiada masalah untuk disiasat semula sekiranya kerajaan mahu berbuat demikian.
Persoal kenapa isu RCI timbul ketika PRN

Memetik laporan Astro Awani, Azeez Rahim turut mempersoalkan mengapa isu laporan RCI itu diumumkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.
Beliau berkata, laporan RCI setebal 204 muka surat itu sebenarnya sudah siap sejak penghujung tahun 2022 di bawah kepengerusian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif.
Saya tidak tahu kenapa tiga tahun lapan bulan benda tu tidak dikeluarkan… yang tahu hanya Perdana Menteri. Dalam RCI itu jelas menyatakan boleh diterbitkan kepada umum. Kalau betul saya ‘sakau’, tahun 2018 lagi Tun Dr Mahathir dah penjarakan saya… saya ditahan 14 malam di lokap, disiasat habis-habisan termasuk audit forensik.
Dakwa pernah disiasat habis-habisan
Dalam penjelasan lanjut, Azeez Rahim berkata beliau sebelum ini sudah melalui proses siasatan dimana dipanggil sebanyak 11 kali termasuk audit forensik berhubung isu Tabung Haji.

Malah, beliau mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Tan Sri Azam Baki pada tahun 2021 pernah mengeluarkan surat rasmi yang mengesahkan tiada salah guna kuasa atau penyelewengan dikesan sepanjang tempoh beliau menerajui Tabung Haji.
Dua minggu lepas saya tanya pihak polis, mereka kata fail ini sudah dikemas untuk disimpan dan hanya menunggu arahan No Further Action (NFA). Jadi kalau nak siasat balik, silakan. Saya orang pertama akan bagi kerjasama yang padu dan jitu, kalau saya curi, saya tanggung. Tapi jangan ulang ayat ‘sakau’ demi kepentingan politik.
Azeez Rahim turut menjelaskan kedudukannya ketika itu hanyalah sebagai pengerusi bukan eksekutif. Katanya, sebarang transaksi atau pelaburan tidak boleh diluluskan secara bersendirian kerana ia perlu melalui beberapa proses dalaman terlebih dahulu.
Jangan padam sumbangan lama Tabung Haji

Dalam masa sama, Azeez Rahim meminta pentadbiran sedia ada tidak menafikan rekod pencapaian UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menguruskan Tabung Haji sejak tahun 1963.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, banyak kejayaan telah dicapai termasuk pengiktirafan sebagai pengurusan haji terbaik di dunia selama 15 tahun berturut-turut.
Azeez Rahim merayu kepada rakyat dan pendeposit supaya membaca sendiri laporan RCI Tabung Haji secara objektif.

