
Oh! Negara
39 Jemaah Umrah Terkandas Akhirnya Dijadual Pulang Malaysia Malam Ini
Seramai 39 jemaah umrah terkandas di Jeddah akhirnya akan pulang malam ini.
Selepas beberapa hari dilanda kebimbangan dan ketidakpastian, akhirnya seramai 39 jemaah umrah termasuk seorang mutawif yang terkandas di Jeddah, Arab Saudi, dijangka pulang ke Malaysia malam ini.
Kepulangan mereka ini disahkan oleh Mohd Firdaus Mat Akhir, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Firdaus Firabib, yang bertindak pantas membeli tiket penerbangan untuk semua jemaah terbabit.
BACA: Jemaah Umrah Terkandas Di Jeddah, Syarikat Akui Ada Masalah Dana
Usahanya ini nyata memberi sinar kepada mereka yang sudah terlalu lama menunggu kepastian.
Menurut Firdaus, para jemaah akan menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Jeddah pada jam 9 malam (waktu tempatan) dan dijangka tiba di KLIA pada jam 11.15 pagi esok.
Kos jemaah umrah terkandas melebihi RM71,000…
Bukan jumlah yang kecil, Firdaus memaklumkan bahawa sebanyak RM71,000 telah dibelanjakan untuk mendapatkan tiket penerbangan bagi 39 jemaah berkenaan.
Malah, beliau sendiri turut mendahulukan RM4,000 bagi menampung kos penginapan tambahan sepanjang mereka berada di sana.
Kakitangan saya bertungkus-lumus sejak semalam bagi menguruskan perkara ini. Sebuah agensi pelancongan juga turut membantu menyediakan tiket penerbangan.- Katanya.
Namun begitu, kos keseluruhan termasuk makanan dan pengangkutan masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.
Kita akan umumkan saluran sumbangan kepada orang ramai yang ingin membantu menampung kembali kos terbabit.- Katanya lagi.
Jemaah terkandas sejak 26 Julai…
Untuk rekod, seramai 43 jemaah umrah sebelum ini dilaporkan terkandas di Jeddah selepas sebuah agensi pelancongan gagal menyediakan tiket penerbangan pulang.
Mutawif mereka, PU Abu atau nama sebenarnya Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, memaklumkan bahawa mereka terpaksa bermalam di sebuah apartmen berhampiran selepas gagal menaiki penerbangan seperti dijadualkan.
Pssttt! Ohmedia nak pesan kepada korang semua yang nak mengerjakan umrah, pastikan korang buat semakan teliti terhadap agensi pelancongan yang digunakan. Jangan cepat percaya dengan pakej murah yang akhirnya makan diri. Kalau boleh, pilih agensi yang berdaftar dan ada rekod baik supaya perjalanan ibadah korang tidak terganggu. Sama-sama kita ambil iktibar dan doakan semua urusan jemaah yang masih di sana dipermudahkan.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.
