Connect with us

Oh! Media

Tanah Airku! Ini Kisah Yang Dikaitkan Dengan Asal Usul Nama Setiap Negeri Di Malaysia

Oh! Lifestyle

Tanah Airku! Ini Kisah Yang Dikaitkan Dengan Asal Usul Nama Setiap Negeri Di Malaysia

Malaysia adalah sebuah negara raja berperlembagaan persekutuan di Asia Tenggara yang terdiri daripada 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan yang mencerminkan kemegahan negara kita di mata dunia.

ADVERTISEMENT

BACA: Kuiz Hari Malaysia: Jom Teka Nama Negeri Berdasarkan Makanan Popular Mereka

Sejak dari bangku sekolah lagi, kita telah telah didedahkan dengan pelbagai sejarah serta asal usul tamadun yang pernah menapak di tanah air sehinggalah wujudnya nama Malaysia itu sendiri.

Umum mengetahui, setiap negeri mempunyai budaya serta loghat yang tersendiri dan ia merupakan salah satu budaya yang kekal sehingga kini dan sering diamalkan oleh generasi demi generasi.

Bagaimanapun, adakah anda ingat serta tahu bagaimana nama di setiap negeri boleh terbentuk dan digunakan sehingga kini? Jadi mari kita imbas kembali sejarah asal usul nama setiap negeri di Malaysia. Ayuh!

1. Selangor Darul Ehsan

Menurut laman Web Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), terdapat beberapa kisah yang dikaitkan sehingga terbentuk nama negeri ini.

Salah satunya adalah kisah seorang pahlawan yang ketika itu dalam perjalanan ke utara dan diganggu oleh seekor langau ketika berehat di tepi sungai. Dia kemudiannya cuba meneroka kawasan tersebut dan dijadikan sebagai penempatan yang diberi nama ‘Se-Langau’ sebelum ia bertukar kepada Selangor.

Selain itu, terdapat juga kisah yang menyatakan Selangor berasal dari perkataan ‘Salang’ dan ‘Jemur’. Ia bermula apabila negeri ini dahulunya dikatakan menjadi tempat penyiksaan para penderhaka.

Antara bentuk penyiksaan tersebut termasuklah dengan cara disalang dan dijemur sehingga mati. Oleh itu, dua perkataan tersebut telah dicantum menjadi ‘Selangur’.

2. Johor Darul Ta’zim

Johor merupakan salah satu negeri Melayu tertua yang pernah menerima pengaruh kerajaan Srivijaya dan nama negeri ini telah disebut-sebut sejak Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Menurut Facebook Persatuan Bangsa Johor, Bendahara Paduka Raja Johor antara tahun 1580 dan 1615, Tun Sri Lanang ada menulis dalam bukunya yang bertajuk ‘Sejarah Melayu’ pada tahun 1612.

Dalam catatannya, Johor disebut oleh pedagang Siam sebagai ‘Klangkiu’ manakala pedagang Jawa menyebutnya sebagai ‘Galuh’ dan pedagang Arab menyebutnya sebagai ‘Jauhar’.

Bagaimanapun, ketiga-tiga perkataan ini membawa maksud yang sama iaitu Batu Permata. Akhirnya, nama Johor dikatakan telah diambil dari perkataan arab iaitu ‘Jauhar’ sebelum diubah menjadi Johor sehingga sekarang.

3. Kedah Darul Iman

Umum mengetahui, Kedah merupakan negeri tertua di tanah melayu berdasarkan catatan ramai sejarawan membabitkan penemuan arkelogi tentang kewujudan penempatannya.

Nama Kedah mempunyai persamaan dengan perkataan ‘Kadah’ atau ‘Khedah’ yang membawa erti ‘Perangkap Gajah’. Namun, ia mungkin bukan berasal daripada perkataan tersebut.

Mengikut catatan arab dan parsi, nama negeri ini ialah ‘Kilah’ atau ‘Qalha’, dalam bahasa sanskrit berbunyi ‘Kataha’ atau ‘Kadara’ manakala dalam naskah tamil berbunyi ‘Kadaram’ dan ‘Kalaram’.

Bagaimanapun, terdapat juga yang menyatakan Kedah berasal dari nama arab yang bermaksud ‘Gelas berkaki’ sempena aktiviti perniagaan pedagang arab yang menjual gelas berkaki pada zaman itu.

4. Kelantan Darul Naim

Nama Kelantan dikatakan berasal daripada Pokok Melaleuca leucadendron atau nama Melayunya iaitu ‘Gelam Hutan’ yang tumbuh pada pesisiran pantai ketika itu.

Namun, terdapat juga kisah yang menyatakan nama negeri ini diperkenalkan oleh orang India utara yang berasal dari bandar Koli. Ia kemudiannya disambungkan dengan perkataan ‘Thana’ yang bermaksud tanah dan menjadi ‘Kolithana’.

Kemudian, penduduk pada ketika itu telah menyebut perkataan itu sebagai ‘Kolamtanah’ sehingga akhirnya menjadi Kelantan.

Selain itu, terdapat juga cacatan dari ensiklopedia Ma Tuan-Lin yang menyebut negeri ini sebagai ‘Ko-Lo’ selain terdapat juga catatan China yang lain seperti ‘Ho-Lan-Tan’ atau ‘Kou-Lo-Tan’ dan mungkin ia menjadi permulaan kepada nama negeri ini.

5. Melaka

Sejak dari bangku sekolah lagi, kita telah didedahkan dengan perkenalan negeri ini yang dikaitkan dengan kisah Parameswara dengan seekor pelanduk.

Hal itu selepas nama Melaka diambil dari kisahnya apabila Parameswara melihat seekor pelanduk telah menendang anjing hingga jatuh ke dalam sungai. Kebetulan pula, tempat beliau bersandar ketika itu adalah pada pokok Melaka.

Namun, ada kisah lain juga mengenai nama Melaka ini apabila dikatakan mungkin berasal dari perkataan pedagang arab yang berbunyi ‘Malakat’ atau ‘Mulagah’ yang membawa maksud tempat perdagangan.

6. Negeri Sembilan Darul Khusus

Lihat pada nama negeri ini sahaja, sudah pasti ramai akan mengetahui asal usul namanya yang diambil bersempena sembilan buah daerah yang berada di bawah gabungannya.

Pada zaman dahulu, sembilan daerah dibawah gabungan negeri ini termasuklah Sungai Ujong, Naning, Rembau, Jelebu, Johol, Klang, Jelai, Ulu Pahang dan Segamat.

Namun, Negeri Sembilan kemudiannya menyerahkan Klang kepada Selangor, Ulu Pahang serta Jelai kepada Pahang dan Segamat Kepada Johor.

Rombakan kawasan kemudiannya menyenaraikan sembilan kawasan iaitu Sungai Ujong, Rembau, Jelebu, Johol, Ulu Muar, Inas, Gunung Pasir, Terachi dan Jempol.

7.Pahang Darul Makmur

Seperti yang kita ketahui, nama klasik bagi negeri Pahang adalan Inderapura. Nama negeri ini dikatakan telah ada sebelum wujudnya negeri Melaka dan turut dikenali sebagai Pahang Tua.

Bagaimanapun, tiada kisah yang jelas bagaimana Pahang mendapatkan namanya. Namun, dalam bahasa Khmer, Pahang bermaksud Timah. Ia mungkin ada kena mengena dengan Sungai Lembing yang terkenal dengan Timah.

8. Perak Darul Ridzuan

Sama seperti Pahang, Perak juga mampunyai nama klasik tersendiri yang berbunyi ‘Gangga Negara’ dan pusat pemerintahan Gangga terletak di Beruas.

Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, nama Perak itu diambil sempena dengan anak panah bermata perak yang dilepaskan oleh anak raja Merong Mahapodisat Kedah.

Anak panah itu dikatakan telah dilepaskan oleh beliau ke kawasan yang dihajati untuk dijadikan sebagai sebuah negeri dan dari kisah itulah, mungkin nama Perak diperolehi.

9. Perlis

Menurut sumber, nama Perlis itu dahulunya dikenali sebagai ‘Kayangan’. Nama negeri ini dikatakan bersempena dengan nama seorang individu yang dikenali sebagai Tok Perlis dan dianggap mempunyai keramat.

Namun, terdapat juga sumber lain yang menyatakan nama Perlis ini berasal daripada perkataan Siam iaitu Phrau Loi yang bermaksud kelapa hanyut.

Hal itu selepas dikatakan kelapa hanyut ini banyak dijumpai oleh oleh orang-orang Siam ketika menggunakan laluan Kuala Sungai Perlis untuk menuju ke Kedah. Perkataan Phrau Loi ini kemudiannya banyak disebut oleh masyarakat tempatan sehingga akhirnya menjadi ‘Perleh’.

10. Pulau Pinang

Pulau Pinang atau Penang pada awalnya dikenali sebagai Pulau Ka Satu selepas seorang pelayar bernama Ragam menamakannya kerana negeri ini satu-satunya pulau besar yang terasing.

Beliau menemui pulau ini ketika berulang-alik untuk berdagang dari Lingga ke kedah dan nama tersebut terus digunakan sehingga kedatangan British pada tahun 1786.

Apabila pokok pinang mula ditanam di kawasan penempatan masyarakat asal melayu di kawasan pantai negeri tersebut selepas kedatangan British, nama negeri berkenaan mula bertukar kepada Pulau Pinang

Bagaimanapun, British pada ketika dahulu pernah menamakan negeri ini sebagai Prince of Wales pada tahun kedatangannya. Namun mujurlah ia tidak melekat di bibir penduduk tempatan sehingga kini.

11. Terengganu Darul Iman

Berbeza dengan negeri lain, Nama Terengganu dipercayai berasal dari satu peristiwa yang disaksikan oleh penduduk Kelantan iaitu sebuah ‘cahaya kilat’.

Selepas melihat perkara itu, mereka terus berkata “Terangnya genu” yang bermaksud terang sampai ke hujung sana dan akhirnya menjadi Terengganu.

Selain itu, terdapat juga kisah yang menyatakan nama negeri ini berasal dari penemuan taring gajah yagn besar serta belum pernah dilihat sebelum ini di Sungai Pulau Duyong.

Oleh kerana saiznya yang besar, penduduk tempatan merujuk taring tersebut sebagai ‘Taring Anu’ sebelum menjadi ‘Sungai Taring Anu’ berdasarkan di mana kawasan taring tersebut ditemui.

12. Sabah

Pernah dikenali sebagai Api-Api, nama Sabah juga dipercayai berasal daripada sejenis buah-buahan iaitu pisang yang dikenali sebagai ‘Pisang Saba’ dan ia merupakan tanaman popular ketika itu.

Pisang Saba juga merupakan sejenis buah pisang yang dipanggil ‘Saing Sabbah’ atau ‘Sappah’ oleh masyarakat tempatan dan ia banyak ditanam di sepanjang pantai barat Sabah sebagai sumber makanan.

Nama Sabah pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh para pedagang yang mengembara di antara Kepulauan Borneo Utara hingga ke kepulauan Sulu di Selatan Filipina.

Selepas negeri ini diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, nama Sabah telah ditukar kepada Borneo Utara pada tahun 1881. Bagaimanapun, ia kembali semula kepada Sabah pada tahun 1963 ketika pembentukan Malaysia.

13. Sarawak

Tahukah anda, asal usul nama Sarawak sehingga kini tidak dapat dibuktikan secara saintifik dan mutlak. Bagaimanapun, terdapat beberapa kisah yang boleh dijadikan sebagai sandaran.

Menurut sumber, nama negeri ini mungkin berasal dari nama Sungai Sarawak yang meliputi kawasan tersebut dan digelar sebagai Sarawak Prosper dari Pedalaman Kuching di Bau sehingga Samarahan.

Namun, terdapat juga sumber daripada penduduk tempatan yang menyatakan nama negeri ini berasal dari ungkapan “Serah Pada Awak” apabila Pengiran Muda Hashim menyerahkan pentadbiran negeri itu kepada James Brooke pada tahun 1841.

14. Kuala Lumpur

Umum mengetahui, Kuala Lumpur merupakan ibu negara dan bandaraya terbesar di Malaysia. Ia menjadi salah satu tanda kemegahan Malaysia di persada dunia.

Nama negeri ini digabung dari perkataan ‘Kuala’ yang bermaksud penyudah aliran hilir sungai manakala ‘Lumpur’ bermaksud tanah yang dicampur dengan air.

Menurut sumber, ia mula diketahui sejak pertengahan kurun ke-19 ketika para peneroka mendulang bijih di sepanjang sungai di pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak.

Peneroka-peneroka ini dikatakan telah melabuhkan perahu mereka di persimpangan dua Sungai tersebut dan mendirikan pengakalan disitu.

Bagaimanapun, keadaan pengkalan itu terlalu berlumpur sebelum mereka menamakan sekitar kawasan itu sebagai Kuala Lumpur dan wujudlah nama tersebut hingga ke hari ini.

Demikian sahajalah kisah yang dikaitkan dengan asal usul nama setiap negeri yang ada di Malaysia sehingga nama-nama tersebut digunakan sehingga sekarang.

Walaupun ada sebahagian daripadanya masih tidak diketahui, namun sekurang-kurang terdapat kisah yang dapat dikaitkan dan ia sinonim dengan nama asal negeri tersebut.

Oleh itu, penulis berharap agar orang ramai mampu mengingati dan memahami asal usul nama negeri ini serta sentiasa mengingati agar ia tidak pupus ditelan zaman. Kalau bukan kita, siapa lagi kan!

Kredit: SlideShare I sejarah2u I Penang.gov I kamekmiaksarawak I shahrirkamil.blog

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Oh! Lifestyle

Ke Atas