Saban hari, dapat kita lihat bandar-bandar di Selangor seperti Semenyih, Kajang dan juga Bangi semakin hari semakin membangun dengan pelbagai infrastruktur dibina demi kemudahan penduduk sekitar kawasan tersebut.
Namun begitu, lain pula luahan seorang pembaca Kosmo yang berharap agar pihak kerajaan boleh menyediakan kemudahan kesihatan buat warga penduduk di Semenyih.
Menurut luahan pembaca tersebut, pembinaan hospital amatlah diperlukan bagi daerah Semenyih yang ketika ini menghadapi pertambahan penduduk yang begitu tinggi dengan banyaknya kawasan perumahan baru yang dibuka.
Pembaca tersebut turut mendedahkan bahawa penduduk Semenyih terpaksa bersesak untuk mendapatkan rawatan di hospital yang terdekat dengan mereka iaitu di Hospital Kajang.
Di akhir luahannya itu, pembaca tersebut berharap agar pihak Kementerian Kesihatan yang baru dapat meneliti semula cadangannya agar dapat memanfaatkan penduduk Semenyih dan kawasan sekitarnya.