Connect with us

Oh! Media

#RENUNGAN Ruginya Ramadan Kita Kalau Buat 10 Perkara Ini, Jom Semak!

Oh! Islam

#RENUNGAN Ruginya Ramadan Kita Kalau Buat 10 Perkara Ini, Jom Semak!

Pejam celik pejam celik hari ini masuklah hari ke-18 umat Islam di Malaysia berpuasa. Bagaimana dengan puasa korang setakat ini?

ADVERTISEMENT

Seperti yang diketahui, bulan Ramadan adalah bulan untuk mempertingkatkan amal ibadah. Pada bulan ini, pelbagai ganjaran dijanjikan kepada mereka yang sentiasa mencarinya.

Jelas Ustazah Asma’ Harun, antara ganjaran yang Allah SWT janjikan ialah keampunan, dibukakan pintu-pintu syurga, dibebaskan daripada neraka, dimakbulkan doa dan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar.

Beliau turut menyenaraikan antara kerugian yang sering kita buat pada bulan ini sehingga seseorang itu tergolong dalam kalangan mereka yang rugi. Jom semak!

1. MENINGGALKAN SAHUR

Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda:

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Maksudnya: “Makan sahur itu berkat, maka janganlah kalian tinggalkan meskipun salah seorang daripada kalian hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah ‘azza wajalla dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang makan sahur.” (HR Ahmad, hadis sahih)

Seterusnya, daripada Amru bin al-‘As, Rasulullah SAW bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya: “Perbezaan antara puasa kita dengan puasanya Ahli Kitab (Yahudi atau Nasrani) adalah makan sahur.”(HR Muslim, hadis sahih)

2. BERSAHUR TETAPI TIDAK MENDIRIKAN SOLAT SUNAT

Firman Allah SWT:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat tahajud sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra’: 79)

Manakala hadis daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan qiam (mendirikan) Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.” (HR Bukhari, hadis sahih)

3. TIDAK BERSEDEKAH WALAUPUN SEDIKIT

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW merupakan orang yang paling pemurah dengan kebaikan dan sifat pemurahnya semakin memuncak dalam bulan Ramadan, ketika Jibril menemui Baginda.”(HR Bukhari, hadis sahih)

Selain itu, daripada Zaid bin Khalid, Rasulullah SAW bersabda:

مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا

Maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.”(HR al-Tirmizi, hasan sahih)

4. MELAKUKAN PEMBAZIRAN KETIKA BERBUKA PUASA

Firman Allah SWT:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوْٓا إِخْوَانَ الشَّيٰطِينِ ۗوَكَانَ الشَّيْطٰنُ لِرَبِّهٖ كَفُورًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’: 27)

5. MENUNGGU WAKTU BERBUKA PUASA TANPA BERDOA

Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّMaksudnya:

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka, doa yang tidak akan ditolak.” (HR Ibnu Majah, hadis hasan)

Terdapat juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: اَلْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak iaitu pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.” (HR Ibnu Majah, hadis hasan)

6. TIDAK MENYEGERAKAN BERBUKA PUASA SETELAH MASUK WAKTUNYA

Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Sahl bin Sa’ad r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ

Maksudnya: “Manusia itu akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagimana mereka mempercepatkan berbuka puasa.”(HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)

7. TIDAK MENJAGA LISAN DAN PERBUATAN

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari, hadis sahih)

Dalam sebuah hadis yang lain ada menyebut, Abu Hurairah r.a. Nabi Muhammad SAW bersabda:

قَالَ اللَّه عَزَّ وَجَلَّ: كُلُّ عملِ ابْنِ آدَم لَهُ إِلاَّ الصِّيَام، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. وَالصِّيَام جُنَّةٌ فَإِذَا كَانَ يوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ، فَإِنْ سابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ، فَلْيقُلْ: إِنِّي صَائمٌ

Maksudnya: “Allah berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah untuk diri mereka kecuali puasa. Sesungguhnya ia untuk Ku dan Aku yang akan membalasnya. Puasa itu perisai. Seandainya seseorang berpuasa pada suatu hari, janganlah dia berkata perkataan yang kotor dan meninggikan suara. Seandainya seseorang mencelanya atau mengajaknya bergaduh, katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.”(HR Ibnu Hibban, hadis hasan)

8. TIDAK MEMBACA ATAU MENDENGAR BACAAN AL-QURAN

Nabi Muhammad SAW bersabda:

الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ الصِّيَامُ أَيْ رَبِّ مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ وَيَقُولُ الْقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ قَالَ فَيُشَفَّعَانِ

Maksudnya: “Puasa dan al-Quran kelak pada hari kiamat akan memberi syafaat kepada seorang hamba. Puasa berkata, “Duhai Rabb, aku telah menahannya daripada makan dan nafsu syahwat di siang hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya.”

Dan al-Quran juga berkata, “Aku telah menahannya daripada tidur di malam hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya.”

Baginda melanjutkan sabdanya: “Maka mereka berdua (puasa dan al-Quran) pun akhirnya memberi syafaat kepadanya.” (HR Ahmad, hadis hasan)

Begitu juga dengan hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca (bertadarus) al-Quran, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.” (HR Muslim, hadis sahih)

9. MENINGGALKAN SOLAT SUNAT TARAWIH

Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam).” (HR Tirmizi, hasan sahih)

10. MENINGGALKAN SOLAT SUNAT WITIR

Nabi SAW pernah mewasiatkan kepada Abu Hurairah r.a. untuk melazimi solat sunat witir sebelum beliau melelapkan mata. Hal ini dinyatakan sendiri oleh Abu Hurairah r.a.:

أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: “Kekasihku (iaitu Muhammad SAW) mengingatkanku supaya melakukan tiga perkara iaitu berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur.”(HR Bukhari, hadis sahih)

Begitu juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir r.a., Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ

Maksudnya: “Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah bersolat witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah bersolat witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam disaksikan (dihadiri oleh para malaikat) dan itu adalah yang afdhal.” (HR Muslim, hadis sahih)

Mudah-mudahan, kita tidak termasuk dalam golongan orang yang rugi seperti yang telah disebutkan.

Setitis embun di pagi hari,

Jatuh di atas bunga melati,

Inilah masanya perbaiki diri,

Di bulan Ramadan yang suci ini.

Selamat Menjalani Ibadah Puasa. Semoga bermanfaat buat semua.

Kredit: Facebook Ustazah Asma’ Harun

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh!Media.

Lagi dalam kategori Oh! Islam

Ke Atas