Connect with us

Oh! Media

Penyakit ‘Ain: Kenali Punca-Punca Dan Cara Merawatnya Menurut Islam

Oh! Islam

Penyakit ‘Ain: Kenali Punca-Punca Dan Cara Merawatnya Menurut Islam

Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok apabila terdapat beberapa individu yang mengakui terkena penyakit ‘Ain dan memuat naik gambar mereka di aplikasi itu sehingga mendapat perhatian orang ramai.

ADVERTISEMENT

Individu yang memuat naik kompilasi gambar wajah mereka yang pada awalnya dalam keadaan baik, namun keadaan mereka yang terkini memaparkan wajah mereka yang dipenuhi dengan jerawat. Oleh itu mereka cuba mengaitkan kejadian yang menimpa mereka sebagai penyakit ‘Ain.

Ia seakan-akan menjadi trend di TikTok sehingga menyebabkan ramai individu yang mengikuti perkara itu memuat naik gambar mereka tanpa mengenal maksud disebalik penyakit itu. Jadi, ini perkara yang anda perlu tahu tentang penyakit ‘Ain menurut islam.

1. Pengertian penyakit ‘Ain

Penyakit ‘Ain merupakan salah satu penyakit yang tidak asing bagi umat islam. Penyakit ini merupakan gangguan yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai oleh perasaan iri dan hasad dengki. Pandangan mata juga dipercayai mampu mempengaruhi perasaan dan pikiran yang bersifat negatif dan juga mampu menjadikan seseorang itu memiliki kecemburuan yang tinggi terhadap orang lain.

Menurut Imam Muda Hassan, Penyakit ‘Ain juga disebabkan oleh rasa takjub terhadap apa yang dipandang walaupun tanpa sekelumit pun rasa iri hati, tidak kiralah sama ada daripada orang soleh ataupun orang dicintai orang ramai. Memetik pandangan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitab Fathul Bari:

‘Ain adalah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.

Disebabkan hal itu, kita sebagai umat islam perlulah mengucap kalimah Masya-Allah jika melihat kanak-kanak comel atau orang yang cantik serta perkara-perkara yang menakjubkan.

2. Penyebab penyakit ‘Ain

Seperti yang kita ketahui, penyebab utama seseorang dijangkiti penyakit ‘Ain adalah disebabkan fikiran negatif. Ia mampu muncul disebabkan dua perkara iaitu perasaan dengki dan perasaan kagum. Ia juga merupakan salah satu penyakit yang dipengaruhi para iblis bagi memicu perasaan iri hati kepada manusia.

  • Perasaan hasad dengki

Penyakit ‘Ain terjadi apabila seseorang memiliki hasad dengki atau iri hati melihat kegembiraan atau kenikmatan orang lain. Selalunya, orang yang memilik sifat ini sering mempunyai perasaan benci terhadap orang yang lebih hebat daripadanya. Oleh itu kita digalakkan untuk berpegang teguh kepada agama agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan syaitan.

  • Perasaan kagum

Jika dilihat, mungkin ramai orang akan tertanya-tanya tentang perasaan ini, walhal ia bukanlah salah satu tingkah laku yang negatif. Namun, perasaan kagum yang menimbulkan kerisauan mampu menyebabkan penyakit ‘Ain. Oleh itu, kita digalakkan untuk sentiasa mengucapkan kalimah Masya-Allah jika kita melihat perkara yang indah.

3. Tanda-tanda terkena penyakit ‘Ain


Menurut kashoorga, berikut merupakan perkongsian dari Pusat Rawatan Islam Darul Nusrah tentang antara tanda-tanda anda terkena penyakit ‘Ain.

  • Rasa sakit kepala ketika Diruqyah
  • Wajah Pucat
  • Berpeluh dan banyak membuang air kencing
  • Emosi tidak stabil perasaan marah dan takut tanpa sebab
  • Sukar tidur pada waktu malam
  • Berasa lemah dan lemas.
  • Jari-jari gementar dan bergerak secara sendiri

Banyak tanda-tanda yang anda mampu ketahui, penulis menyenaraikan beberapa tanda yang mampu kita semua rasai sekiranya kita terkena penyakit ‘Ain.

4. Cara rawatan penyakit ‘Ain

Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan bagi mencegah dan merawat penyakit ‘Ain ini iaitu melalui rawatan islam. Jikalau boleh, tidak perlulah sampai tahap kita memerlukan rawatan daripada bomoh atau dukun bagi merawat penyakit ini. Simbol utama bagi penyembuhan dalam islam ialah bacaan doa.

Kaedah yang kita boleh lakukan termasuklah dengan cara mandian ataupun meminum air hasil doa yang telah kita doakan. Menurut artikel Pancarannur, berikut merupakan amalan khusus bagi mencegah penyakit ‘Ain dan mengubatinya:

  1. Bacakan Surah Al-Fatihah sebanyak 3 kali
  2. Bacakan Ayatul Kursi sebanyak 3 kali
  3. Bacaan zikir seperti ayat berikut sebanyak 100 kali

حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

4. Bacakan ayat berikut sebanyak 9 kali

وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ

Amalan doa di atas juga boleh diamalkan sehari sekali sebagai ikhtiar pencegahan daripada penyakit ‘Ain orang lain pada diri kita. Namun, jika kita pula terkena penyakit itu, bacakanlah ayat-ayat di atas pada air dan berikan minum serta dibuat mandian kepada pesakit tersebut. Insha-Allah, kita mampu dihindar daripada penyakit tersebut.

5. Doa-doa bagi menjauhkan diri daripada penyebab penyakit ‘Ain

Perasaan iri hati dan hasad dengki merupakan penyebab utama berlakunya penyakit ‘Ain. Oleh itu, kita sebagai umat islam digalakkan untuk sentiasa berdoa agar kita dijauhkan dari perkara-perkara yang buruk dan negatif. Berdasarkan artikel Liputan6, berikut merupakan doa-doa yang mampu menjauhkan diri kita daripada sifat hasad dengki.

  • Doa dijauhkan dari sifat iri dan dengki

Rabbanaghfirlanaa wa liikhwaninnalladziina sabaquunaa bilimaani wa laa taj’alfii quluubinaa ghilaa lilladziina amanuu rabbannaa innaka raufurrookhiimun

Maksudnya: Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan dosa-dosa saudara kami yang telah mendahului kami dengan membawa iman, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Allah, sungguh Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.

  • Doa dijauhkan dari sifat buruk sangka

Allahumma ati takwaha wa zakkiha anta khoiru man zakkaha anta waliyyuha wa maulaha. Allahumma inni a’uzubika min ‘ilmin la yanfa’u wa min qolbin la yakhsya’u wa min nafsin la tasyba’u wa min da’watin la yustabu laha

Maksudnya: Ya Allah, kurniakan ketakwaan pada jiwaku. Sucikanlah ia, sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya, Engkau-lah yang menjaga serta melindunginya. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak manfaat, hati yang tidak khusyuk, dan doa yang tidak dikabulkan.

  • Doa dijauhkan dari rasa marah

Allaahummaghfirlii dzanbii, wa adzhib ghaizha qalbii, wa ajirnii minas syaithaani

Maksudnya: Ya Allah, ampunilah dosaku, redamlah murka hatiku, dan lindungilah diriku dari pengaruh iblis.

Kesimpulannya, penyebab utama penyakit ‘Ain ini muncul adalah disebabkan hasad dengki seseorang kepada orang lain. Manusia memang tidak pernah lari dari perasaan itu oleh sebab ia merupakan lumrah alam yang tidak dapat disangkal. Namun semua perkara boleh diubah dengan usaha kita, Jika kita sentiasa bersifat positif dan berpegang teguh dengan ajaran Islam, Insha-Allah kita mampu dijauhkan dari segala penyakit termasuklah penyakit ‘Ain.

Kredit: Sinar Harian I Liputan6 I kashoorga I Pancarannur I Muftiwp

+ Baca respon pembaca di Facebook Oh! Media

Lagi dalam kategori Oh! Islam

Ke Atas