Seorang pempengaruh media sosial, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman, 33, atau lebih dikenali sebagai Prince Syed, baru-baru ini menerima teguran terbuka daripada pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun, di ruangan komen Facebook miliknya.
Teguran tersebut menyentuh tentang cara pemakaian isterinya, Fatin Syazwani Ishak, 33, yang dikatakan lebih membalut tubuh daripada menutup aurat mengikut syariat Islam.
Teguran Ustazah Asma’ untuk peringatan kita semua…
Dalam komennya, Ustazah Asma’ menekankan pentingnya menjaga adab berpakaian sambil menyampaikan teguran dengan penuh hikmah:
Isteri yang tuan cintai itu membalut bukan menutup. Islam tidak larang kita berfesyen dan berpakaian indah, tapi Allah mengharamkan tabarruj (berlebihan dan menarik perhatian sehingga melanggar syariat). Sesuatu yang berlebihan lebih kepada menjatuhkan maruah, bukan menaikkan martabat.
Ustazah Asma’ turut menasihati pasangan itu untuk mengambil teguran ini sebagai peluang mendekatkan diri kepada Allah:
Ramai yang sokong perniagaan tuan dan isteri. Itu adalah ujian, sama ada mendekatkan atau menjauhkan kita daripada-Nya.- Nasihat Ustazah Asma’.
Prince Syed bagi tahu isteri, terima dengan hati terbuka…
Bercakap kepada media, Prince Syed mengakui pada awalnya dia tersentak apabila melihat teguran tersebut. Namun, dia memilih untuk melihatnya secara positif dan mengambilnya sebagai peringatan.
Sebahagian orang mungkin tak dapat terima teguran terbuka, tapi saya ambil positif dan tak boleh melatah kerana sedar diri saya memang tak sempurna. Sebagai suami, saya akan cuba didik dan bantu isteri perbaiki penampilannya.- Katanya.
Beliau juga menyatakan telah menghantar mesej WhatsApp kepada Ustazah Asma’ untuk memberi penjelasan serta menyatakan kesediaannya menerima teguran itu dengan hati terbuka.
Saya ada beri penjelasan dalam mesej itu, tapi tak pasti sama ada beliau menerima mesej tersebut. Saya mahu perubahan ini berlaku secara perlahan-lahan, bukan kerana tekanan orang lain.- Tambahnya lagi.
Menurut Prince Syed, pada awalnya dia tidak memberitahu isterinya tentang teguran tersebut kerana ingin menjaga perasaan wanita itu. Namun, beliau yakin isterinya dapat menerima teguran tersebut dengan hati terbuka, memandangkan ia demi kebaikan.
#OhmediaNasihat
Sebagai suami isteri, teguran seperti ini boleh dijadikan peluang untuk memperbaiki diri dan hubungan dengan Allah. Ingatlah, perubahan yang sejati memerlukan masa, keikhlasan, dan sokongan antara satu sama lain. Jadi, korang yang menerima teguran, ambil ia sebagai hikmah dan bukan kritikan semata-mata.