Connect with us

Oh! Media

Betul Ke Berasal Dari Nama Buah? Ini Kisah Bagaimana Proton Saga Mendapat Namanya

Oh! Gear

Betul Ke Berasal Dari Nama Buah? Ini Kisah Bagaimana Proton Saga Mendapat Namanya

Sejak penubuhan negara Malaysia pada tahun 1963, terdapat banyak prasarana yang telah berjaya diwujudkan bermula dari kemudahan dalam sektor pengangkutan hingga sektor pembangunan.

ADVERTISEMENT

BACA: “Ia Mungkin Tidak Ada Daya Tarikan, Tapi” – Saga Kembali Mendapat Perhatian Di UK

Pelbagai kemudahan telah disediakan dan menjadikan negara kita sebagai salah satu benua yang kaya dengan teknologi canggih serta selari dengan peredaran zaman.

Namun, adakah kita tahu apakah perkara yang menjadi pemicu aras kemajuan negara? Sudah semestinya penciptaan kereta pertama negara iaitu Proton Saga.

Sejak ia ditubuhkan pada tahun 1985, Malaysia mula mengorak langkah sebagai salah satu negara yang mampu mengeluarkan jenama kenderaan sendiri sehingga dikenali di mata dunia.

Walaupun sudah 37 tahun ditubuhkan, namun masih ramai yang tidak mengetahui asal-usul nama tersebut boleh tercipta. Jadi, sebelum kita mengkaji dengan lebih dalam, apa kata kita ketahui dahulu sejarah mengenai Proton itu sendiri. Ayuh!

1. Sejarah penubuhan Proton

Perusahaan Otomobil Nasional Sendirian Berhad atau PROTON merupakan pengeluar kereta pertama Malaysia yang ditubuhkan pada 9 Julai 1985 dan memakan modal sebanyak RM150 juta.

Bermula dari sehelai kertas kosong, penubuhan syarikat ini merupakan gagasan daripada Perdana Menteri Keempat Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1979.

Hal itu selepas beliau ingin melihat negara kita menjadi negara pengeluar kereta nasional bagi membantu dalam mencapai aspirasi negara dalam sektor perindustrian.

Selepas mengadakan perbincangan bersama kabinet dan diluluskan pada tahun 1982, akhirnya syarikat automotif pertama Malaysia itu ditubuhkan pada 7 Mei 1983.

2. Pembinaan kereta pertama negara

Selepas syarikat Proton ditubuhkan, Proton Saga menjadi model pertama yang dibina selepas pengeluar kereta Jepun, Mitsubishi, bersetuju untuk bekerjasama dengan HICOM dalam penghasilan kereta pertama negara.

Dengan berasaskan model Mitsubishi Lancer Fiore, ia dibangunkan buat kali pertama di Shah Alam, Selangor pada tahun 1985. Model pertama pula dihadiahkan kepada Muzium negara sebagai simbol bermulanya industri automotif.

Impak pengeluaran itu, model tersebut mula mendapat sambutan di dalam serta luar negara seperti United Kingdom dan ia laris dijual hanya dalam tempoh enam bulan.

Selain itu, Proton Saga ini juga merupakan generasi paling lama dalam tempoh pengeluarannya iaitu selama 22 tahun sebelum digantikan dengan Saga generasi kedua pada tahun 2008.

3. Evolusi logo Proton

Sejak ia ditubuhkan pada tahun 1985, jenama Proton ini telah mencetuskan evolusi dalam logo itu sendiri. Sebanyak 6 logo telah dikeluarkan dan kali terakhir diubah adalah pada tahun 2018.

Bagi ‘kelahiran pertama’, Proton telah menghasilkan logo berbentuk bintang dan bulan sabit Malaysia bagi menzahirkan rasa bangga diatas kejayaan menghasilkan kenderaan nasional pertama.

Pada tahun 1993, reka bentuknya lebih kecil dan sedikit bulat serta masih mengekalkan motif Malaysia dengan sentuhan moden.

Pada tahun 2000, logo Proton mula membuat rombakan besar dengan mengenalkan motif Harimau Malaya pada logonya sambil tertera perkataan Proton. Tujuan perubahan ini adalah untuk melakukan pasaran domestik bagi mewujudkan aspirasi global.

Pada tahun 2008 pula, sekali lagi syarikat tersebut ditukar dengan berlaku perubahan warna dengan gaya yang lebih serius. Perubahan ini juga turut mencerminkan tagline mereka iaitu ‘Berkomitmen untuk lebih baik’.

Lapan tahun kemudian iaitu tahun 2016, perkataan Proton dikeluarkan dari dalam logo bagi memberikan ‘nafas baharu’ kepada Harimau Malaya yang lebih besar serta berbentuk 3D. Slogannya pula ialah ‘Pada pemanduannya’.

Akhirnya, pada tahun 2018, logo baharu telah diperkenalkan hasil kerjasama dengan rakan kongsi iaitu Geely. Tiada lagi perisai dan hanya tinggal lingkaran bulat. Kepala harimau pula diubah dengan rahang menghala kebawah. Slogan baharu juga muncul bersama logo tersebut iaitu ‘Menginsipirasikan hubungan’.

4. Dari mana asal-usul nama Proton Saga?

Kalau ditanya mengenai asal usul nama Proton Saga, sudah pasti ramai akan mengaitkan dengan buah saga. Namun adakah anda tahu bahawa ia adalah tidak tepat dan terdapat kisah tersendiri membabitkan nama Saga itu boleh tercipta.

Sebelum pelancaran Proton Saga, sebuah ‘Peraduan Menamakan Kereta Nasional’ telah dilancarkan di seluruh negara dan telah menarik seramai 102,823 jumlah penyertaan.

Dari ribuan nama yang telah diberikan, hanya tiga sahaja nama yang dipilih iaitu Saga, Perdana dan Gagah. Akhirnya nama yang dicadangkan oleh Staf Sarjan Ismail Jaafar dari Pulau Pinang yang dipilih sebagai pemenang.

Berdasarkan keratan akhbar di atas, mungkin disebabkan beliau sempat berseloroh menyatakan nama Proton Saga diambil dari buah saga ketika ditanya akan asal usulnya, orang ramai mula menganggap ia berasal dari buah tersebut.

5. Kenapa Sarjan Ismail dipilih sebagai juara?

Sebenarnya, bukan Sarjan Ismail sahaja yang mencadangkan nama Saga, tetapi seramai 11 orang dilaporkan turut memberikan nama sama. Tapi, apa yang membuatkan beliau dipilih sebagai juara?

Menurut sumber, beliau sebelum ini ada bermain sebuah permainan bernama Scrabble dengan rakan-rakan sekerjanya. Pada masa itu, Ismail sempat menyusun frasa ‘saga’ yang membawa maksud ‘sebuah kisah yang panjang’.

Dalam pada itu, beliau terus mendapat idea untuk memberikan maksud bagi setiap huruf pada perkataan Saga dan ia membawa maksud yang tersendiri iaitu:

  • S = Safety, Stability (Keselamatan, Kestabilan)
  • A = Achivement (Pencapaian)
  • G = Greatness (Keagungan)
  • A= Ability (Kebolehan)

Demikian sahajalah sedikit sebanyak sejarah ringkas tentang penubuhan Proton serta nama Proton Saga itu sendiri. Sudah pasti ramai akan mula mengimbau kembali era kegemilangan ‘tanah air’ pada zaman dahulu.

Selama bertahun-tahun, Proton semakin bertambah maju dan berjaya mencapai beberapa kejayaan dalam sukan permotoran di peringkat antarabangsa serta giat dalam melancarkan pelbagai model baharu.

Setakat ini, Saga berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu model paling terlaris dan lebih dari 1,800,000 unit telah terjual dalam tempoh 37 tahun dan dijangka tetap menjadi pilihan pengguna untuk sekurang-kurangnya 35 tahun lagi.

Kredit: RancakTV I PROTON I BuletinFm I Wapcar

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Oh! Gear

Ke Atas