Penerbit filem terkenal tanah air, Datuk Yusof Haslam tampil dengan satu niat murni apabila mengumumkan akan menyumbang sebanyak RM380,000 kepada mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Selangor.
Lapor Berita Harian, niat tersebut timbul selepas beliau menyaksikan sendiri kesan tragedi yang berlaku pada awal bulan lalu termasuk rumah rakan-rakan terdekatnya yang turut terjejas.
Kutipan cecah RM62 juta, janji bakal dikota
Beliau menyatakan bantuan tersebut akan disalurkan sekiranya filem aksi terbaharu terbitan Skop Productions bertajuk Blood Brothers: Bara Naga berjaya meraih kutipan melebihi RM60 juta.
Ketika filem ini mahu ditayangkan, tragedi letupan gas baru berlaku. Saya simpati apabila ada rumah kawan-kawan saya terjejas akibat kejadian itu.
Jelasnya, sumbangan turut dibincangkan bersama isterinya apabila melihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menghulurkan bantuan kepada mangsa tragedi tersebut.
Maka, beliau menyatakan hasrat untuk melakukan perkara sama sekiranya rezeki filem itu melimpah ruah.
Kita akan keluarkan RM380,000 sebagai pemberian ikhlas saya. Insya-Allah, kita laksanakan akhir bulan ini. Mungkin melalui tabung diusahakan TV3 atau cara lain, iaitu menggunakan saluran pihak berkuasa tempatan.
Setakat ini, filem Blood Brothers: Bara Naga dilaporkan telah pun mencatat kutipan sebanyak RM62 juta dalam tempoh 20 hari tayangan.
Jumlah itu sekali gus memecahkan rekod kutipan filem Sheriff: Narko Integriti yang dihasilkan pada tahun lalu.
“Rezeki bukan hanya untuk kita sahaja”
Baginya, setiap rezeki yang Allah SWT kurniakan, ada bahagiannya untuk dikongsi bersama masyarakat yang memerlukan.
Apabila Allah beri kita rezeki, bukan untuk kita sahaja. Kita ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Malah, ada juga orang datang ke rumah sepanjang Ramadan minta bantuan dan kita bantu apa yang mampu.
Beliau turut berkongsi pengalaman bertemu individu yang dalam kesusahan, termasuk yang terjerat dengan ceti haram datang meminta bantuan di rumahnya.
Atas dasar kemanusiaan dan keikhlasan, beliau sentiasa cuba membantu semampunya.
Pssttt! Tahniah Blood Brothers: Bara Naga di atas kejayaan mencapai kutipan yang membanggakan. Tak sia-sia orang tempatan kita support apabila keuntungan turut dikongsi kepada yang memerlukan.
Kredit: Berita Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.