Seperti yang kita ketahui, kelonggaran bagi aktiviti seperti riadah, mendaki dan sebagainya telah membuka peluang kepada masyarakat untuk melakukan aktiviti di luar rumah
Hal itu selepas melihat penurunan angka jangkitan yang dilihat amat memberangsangkan dan masyarakat kini hanya menunggu pengumuman untuk merentas negeri.
Namun, masyarakat juga turut dinasihati supaya berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti luar oleh kerana faktor cuaca yang buruk sejak kebelakangan ini.
Azlan alami patah kaki ketika mendaki bukit
Namun, nasib malang telah menimpa penyanyi Azlan Typewriter yang mengalami patah kaki ketika mendaki bukit di Sungai Batangsi, Semenyih, Selangor, semalam.
Perkara itu dikongsikannya menerusi laman Instagram yang memaparkan kaki kirinya yang bersimen akibat dari kaki kirinya yang telah patah.
Kawan-kawan yang suka hiking tu disarankan berhati-hati semasa musim Hujan ni, tersalah langkah patah Tulang kaki ye.
Menurut laporan Kosmo, Azlan telah menceritakan kisah semasa kejadian berlaku yang mana dia bersama empat rakannya hendak menuju ke sebatang sungai melalui cerun yang agak tinggi.
Menurut penyanyi berusia 39 tahun itu, kejadian dikatakan berlaku sekitar 9 pagi ketika perjalanan turun, namun terlihat sebuah kawasan sungai yang cantik.
Ketika itu sudah masuk hampir waktu tengah hari. Ketika hendak ke sungai itu, tiba-tiba saya tergelincir akibat terpijak kawasan tanah licin sehingga menyebabkan saya terjatuh ke bawah cerun.
Tambahnya lagi, ketika jatuh, kakinya terhentak seketul batu yang agak besar sehingga kakinya mengeluarkan bunyi yang kuat.
Saya dengar bunyi tulang kaki saya patah. Dalam hati saya sudah menjangkakan perkara itu (kaki patah), lebih-lebih lagi apabila melihat keadaan kaki yang sudah terkulai.
Dalam keadaan kaki yang patah, saya telah dibantu oleh rakan-rakan untuk naik semula ke atas.
Mujur ketika itu salah seorang rakan membawa kereta dan kami bergegas ke Hopital Kajang untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Azlan, doktor yang merawatnya itu memberitahu bahawa bahagian buku lali dan tulang di belakang kaki kirinya patah dan perlu menjalani pembedahan.
Selain itu, doktor juga turut menasihati agar dia berehat di rumah. Namun memikirkan faktor kerja menyebabkan dia tidak boleh mempersetujui perkara itu.
Pada saya selagi saya mampu, saya akan kerja. Tapi rehat tetap rehat. Insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja.
Dalam masa yang sama, penyanyi itu turut menzahirkan rasa syukur kerana dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan bernasib baik mempunyai rakan-rakan yang sudi membantu.
Menjengah pada ruangan komen pada hantaran di Instagram, rata-rata pengikutnya menzahirkan rasa simpati akan keadaanya selain turut mendoakan agar Azlan segera sembuh.