Connect with us

Oh! Media

Fasha Sandha Beri Nasihat Kepada Pelakon Baru

Oh! Artis

Fasha Sandha Beri Nasihat Kepada Pelakon Baru

Isu kedatangan pelakon baru ataupun ‘instafamous’ ke dalam industri hiburan sememangnya menjadi isu hangat diperkatakan oleh sama ada selebriti mahupun netizen.

ADVERTISEMENT

Kebanyakkan daripada pelakon baru ini mendapat respon yang kurang memuaskan daripada netizen kerana menganggap mereka ini kurang berbakat dan tidak bersedia untuk ke bidang lakonan.

Dari sudut lain pula, ada penerbit dan pengarah drama yang mempertahankan kehadiran mereka dengan alasan industri hiburan memerlukan wajah dan pelapis baru untuk pelakon yang sedia ada.

Bagi pelakon popular, Fasha Sandha, dia melihat kemunculan pelakon-pelakon baharu yang hadir kebanyakkan daripada platform media sosial yang bergelar ‘instafamous’ adalah sesuatu yang positif untuk industri hiburan tanah air.

“Sejujurnya apabila saya mula berlakon 16 tahun lalu, saya juga tidak faham apa itu lakonan. Saya hanya main cakap dan lontarkan dialog saja. Sama seperti mereka yang baharu ini. Cuma, apa saya buat adalah menjaga disiplin dan memberikan sepenuh komitmen atas kerja yang diberikan. Setiap hari saya belajar di lokasi.

“Kehadiran ramai pelakon baharu adalah perkembangan yang sihat. Saya tak pandang negatif, tapi lihat ia daripada sudut positif. Kemunculan mereka juga memberikan warna dalam industri.

“Cuma saya selalu ingatkan pelakon baharu, orang tak kisah jika berlakon ‘kayu’, apa yang penting jaga disiplin, komitmen dan tingkah laku. Walaupun saya sudah 16 tahun dalam bidang ini, apabila pengarah ada pandangan dan tegur lakonan, saya terima.

“Kena sentiasa nak majukan diri dan menjadi lebih baik. Pendapat pengarah perlu diambil kira juga. Jadi, saya terima kehadiran mereka tapi kena jaga disiplin dan komitmen,” katanya.

Fasha yang terbabit dalam drama terbaru ‘Scammer’ yang ditayangkan di saluran Astro Ria berkata, dia berasa kagum dengan semangat dan usaha keras yang dilakukan oleh Arash Mohd untuk menjayakan watak Razman yang merupakan bapanya dalam siri itu.

“Setiap hari di lokasi Abang Arash buat ‘homework’ mengenai wataknya. Ini kali pertama saya tengok dia betul-betul ‘method’ dengan watak dilakonkan. Apa yang dibuat itu membuatkan saya teruja dan bersemangat untuk buat perkara sama.

“Bukan nak berlawan atau ‘makan’ lakonan sesiapa, tapi mahu menjadi bagus juga supaya impak siri ini bertambah bagus. Alhamdulillah, kerjasama dalam pasukan drama ini sangat bagus,” katanya.

Fasha menambah, setiap pelakon baru perlu bekerja keras dan ikhlas untuk betul-betul menjayakan watak yang diberikan.

“Soal menang anugerah ia adalah bonus. Sebagai pelakon dan anak seni sejati, perkara ini bukan soal utama kerana tak kisah pun dapat anugerah atau tidak. Bagi saya, apa yang penting adalah bekerja dengan penuh keikhlasan.

“Contohnya ada yang persoalkan Abang Arash dia belum pernah dapat anugerah walaupun sudah 30 tahun dalam bidang lakonan. Bagi saya, penghormatan yang diterimanya sesuatu yang lebih berharga. Sama seperti saya berikan dia penghormatan itu.

“Malah kalau baca komen dan maklum balas penonton di Twitter, 99 peratus bercakap mengenai watak dia saja. Orang puji lakonannya yang hebat dan itu perlu diakui. Malah, itu adalah pencapaian bagi seseorang pelakon,” katanya.

Drama Scammer terbitan Radius One Sdn Bhd yang diarahkan Norhanisham Muhammad atau Labu turut menampilkan lakonan antaranya Kamal Adli, Siti Saleha, Arash Mohd, Jay Iswazie, Didie Alias, Hasnul Rahmat dan Chew Kin Wah.

Kredit : HarianMetro

Penulis sepenuh masa di Oh! Media berkaitan isu-isu menarik dan yang pasti terkini

Comments

Lagi dalam kategori Oh! Artis

30 Hari Paling Trending

To Top