Baru-baru ini, berlaku kejadian banjir di Lembah Klang, terutamanya di Selangor yang disifatkan luar jangkaan serta merupakan bencana paling buruk yang berlaku dalam tempoh tujuh tahun ini.
BACA: Kereta Rosak, 8 Jam Wanita Ini Berjalan Kaki Redah Banjir Untuk Pulang Rumah
Oleh sebab itu, sebanyak 73 jalan utama dan beberapa lebuh raya di seluruh negeri itu terpaksa ditutup berikutan masih dinaiki air dan dilihat semakin meningkat.
Menurut data, lebih daripada 6,000 mangsa banjir direkodkan di enam daerah di Selangor sejak semalam dan kesemua mereka telah ditempatkan di 80 pusat pemindahan sementara (PPS).
Ekoran dari musibah itu, orang ramai mula menitip doa kepada mangsa-mangsa banjir serta pelbagai bantuan telah disalurkan bagi meringankan beban mereka.
Ebby Yus reda, rumah hasil 30 tahun dalam industri hanyut
Bagaimanapun, para selebriti tempatan juga tidak terlepas dari menerima impak terhadap bencana itu termasuklah harta serta kediaman yang rosak akibat banjir.
Salah seorangnya ialah pelawak terkenal, Ebby Yus yang turut menjadi mangsa selepas rumahnya yang terletak di Kuala Langat, Selangor telah ‘musnah’ sekelip mata akibat dihayutkan air deras.
Lebih memeritkan, ‘maligai impian’ yang dalam proses pembinaan itu merupakan hasil titik peluhnya selama 30 tahun dalam industri selain turut menanggung kerugian sebanyak RM200,000.
Bercerita mengenai kejadian, Ebby ketika itu bersama pembantu peribadinya telah pergi melihat kerja-kerja akhir pembinaan rumah dua tingkat itu semalam termasuklah pemasangan kertas hiasan dinding.
Tanpa disangka, musibah datang hingga habis rumah yang dibina menggunakan separuh batu dan separuh lagi kayu ‘lenyap’ dalam kejadian banjir, petang semalam.
Inilah rumah impian saya sejak lebih 30 tahun berkecimpung dalam arena seni… Saya akur dengan ketentuan ini.
Rumah lagi 10 peratus nak siap, bayar sedikit demi sedikit
Selain itu, Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid turut menyatakan rumah tersebut telah hampir 10 peratus untuk disiapkan dan telah melakukan pembayaran sedikit demi sedikit sejak beberapa tahun lalu.
Tambahnya, pembinaan rumah itu juga kerap terhenti oleh kerana dirinya sebelum ini telah mengalami masalah kesihatan selain sekatan akibat penularan virus pandemik.
Setiap kali dapat bayaran berlakon, saya peruntukkan untuk rumah itu. Kali terakhir selepas dapat bayaran daripada penerbit sitkom Jenaka Kampung Kalut ( JKK), saya lunaskan baki bayaran projek pembinaan rumah itu.
Sebelum ini, projek pembinaan bertukar kontraktor kerana masalah tidak terduga… Biasalah, kerja bina rumah semuanya perlukan wang.
Walaubagaimanapun, Ebby yang berasal dari Negeri Sembilan dan kini menyewa di Kampung Baru, Kuala Lumpur sejak 20 tahun lalu menyatakan bahawa dirinya tetap reda akan ketentuan itu.
Kredit: Berita Harian
+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media