Catcha Digital Berhad melalui anak syarikatnya, hari ini memeterai Perjanjian Usahasama dengan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, pengasas podcast popular Keluar Sekejap Sdn Bhd untuk bersama-sama membentuk perniagaan media digital yang baharu iaitu KS Lagi.
Kerjasama ini akan menggabungkan kekuatan Catcha Digital dan Keluar Sekejap, salah satu peneraju baru dalam media digital serta podcast di Malaysia.
Melalui kerjasama ini, Catcha Digital berhasrat untuk mengambil tanggungjawab komersial Keluar Sekejap yang sedia ada dan KS Lagi.
KS Lagi pula akan mencipta dan menyalurkan kandungan media baharu merentasi rangkaian Catcha Digital yang sedia ada yang mencapai kira-kira 20 juta rakyat Malaysia setiap bulan.
Pengasas Keluar Sekejap ketika ditemubual berkata, dia sama sekali tidak sangka Keluar Sekejap mampu meraih perhatian yang hebat dan membuat orang ramai berminat untuk mendengar pandangan mereka mengenai pelbagai topik dari dalam dan sekitar dunia politik.
Dengan KS Lagi, kami ingin membina dari platform utama Keluar Sekejap untuk mencipta kandungan yang mempunyai daya tarikan seperti Keluar Sekejap tetapi di luar dunia politik melalui format kandungan yang berbeza. – Shahril
KS Lagi akan memperluaskan kejayaan Keluar Sekejap dan akan menjadi platform media yang bertujuan untuk membantu pengguna menjalani kehidupan terbaik mereka dengan kandungan gaya hidup yang kontemporari namun abadi, relevan tanpa sifat murahan dan informatif dengan cara menghormati pandangan pengguna. – KJ
Tambah Khairy Jamaluddin, KS Lagi akan mengupas pelbagai topik seperti kesihatan, kesejahteraan hidup, makanan masakan sihat, kesusasteraan dan seni, teknologi, pemimpin dan golongan rakyat, kepercayaan dan kerohanian, perniagaan dan keusahawanan, fesyen dan citarasa.
Sementara itu Patrick Grove selaku Pengerusi Catcha Digital meluahkan rasa teruja dengan kerjasama yang dijalinkan ini.
Patrick Grove
Di setiap platform Catcha Digital dan Keluar Sekejap, kami sudah mencapai sebahagian besar dari rakyat Malaysia setiap bulan dan kami juga mendapati bahawa penonton kami mahukan pendekatan baru terhadap kandungan digital. Kami akan menjadi sebahagian penting dari kerjasama ini, sejajar dengan misi untuk membentuk kumpulan digital terkemuka di Asia Tenggara.
Bagi memulakan usaha kerjasama antara dua pihak ini, salah seorang pelabur teknologi yang paling profilik di Malaysia iaitu Khailee Ng telah dilantik sebagai Penasihat Strategik untuk KS Lagi, manakala Shahzeeq Shahreen pula telah dilantik sebagai Ketua Pengarang.
Untuk rekod, Shahzeeq adalah pengasas bersama BeautifulNara, salah satu platform media selebriti dan gaya hidup yang paling popular di Malaysia.
KS Lagi dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada separuh kedua tahun 2024. Maklumat lanjut mengenai usaha sama ini akan diumumkan kemudian.