Oh! Negara
Jamil Khir Baharom Didakwa Libat Pelupusan Aset TH RM860 Juta
Jamil Khir Baharom mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membabitkan pelupusan aset Tabung Haji bernilai lebih RM860 juta.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom berdepan tiga pertuduhan membabitkan pelupusan aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai lebih RM860 juta.
Bagaimanapun, beliau menafikan kesemua pertuduhan tersebut ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan memilih untuk dibicarakan.
Jamil Khir didakwa lupus tiga aset

Jamil Khir, 65, didakwa menyebabkan TH melupuskan tiga aset dalam bentuk wang masing-masing bernilai RM42,942,074, RM288,172,134.64 dan RM529,194,561.87 kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.
Jumlah keseluruhannya mencecah RM860,308,770.51 atau SAR766,062,237.
Kesalahan itu didakwa berlaku ketika beliau memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), masing-masing pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.
Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.- Katanya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Berdepan hukuman penjara dan denda

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, peruntukan itu membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, selain sebatan dan denda.
Kesalahan didakwa berlaku di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya serta Kompleks Islam Putrajaya.
