Trending
“Kalau Tangkap Ramai-Ramai, Lepas Tu Nak Letak Mana?” – Marina Ibrahim Persoal Penyelesaian Isu Rohingya
Isu sekolah Rohingya, Marina mengaku pernah mengajar kanak-kanak ini.
Isu komuniti Rohingya di Malaysia sekali lagi mencetuskan perdebatan apabila pelbagai dakwaan dan kebimbangan dibangkitkan oleh masyarakat tempatan di media sosial.
BACA: Pak Azad Terjumpa ‘Flat’ Empat Tingkat Didakwa Dibina Rohingya Di Hulu Langat
Mengulas perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim meminta semua pihak melihat isu berkenaan dengan tenang dan tidak bertindak semata-mata mengikut emosi, sambil menegaskan bahawa masalah yang timbul juga tidak sepatutnya dinafikan.
Minta NGO dan rakyat bersikap rasional
Menerusi perkongsian di Facebook, Marina berkata pertubuhan bukan kerajaan perlu mengakui masalah yang dikaitkan dengan komuniti pelarian Rohingya.
Pada masa sama, rakyat tempatan turut dinasihatkan supaya tidak hilang rasa kemanusiaan ketika menyuarakan kebimbangan mereka.
Marina berkata isu Rohingya kembali menjadi perhatian sejak beberapa hari lalu, termasuk perbincangan mengenai kewujudan sekolah untuk kanak-kanak daripada komuniti tersebut.
Marina pernah mengajar kanak-kanak Rohingya
Menurut Marina, dia pernah menjadi guru kepada kanak-kanak Rohingya dan melihat sendiri beberapa perkara yang berlaku dalam komuniti itu.
Dia mendakwa pernah melihat remaja perempuan berusia sekitar 15 tahun dikahwinkan, selain terdapat keluarga yang tinggal beramai-ramai dalam sebuah rumah.

Marina turut berkongsi bahawa ada pelajarnya yang tidak lagi hadir ke sekolah selepas dikahwinkan oleh keluarganya.
Katanya, sebahagian remaja perempuan yang diajar sebenarnya takut dan tidak mahu berkahwin pada usia muda.
Menurut Marina, dia mengambil keputusan untuk mengajar kerana percaya pendidikan mampu membentuk adab, disiplin dan tingkah laku seseorang.
Pendidikan untuk elak ganggu penduduk tempatan
Antara perkara yang diajar termasuk menghormati kepelbagaian kaum dan agama, menjaga kebersihan, adab berjiran serta pendidikan seksualiti.

Marina berkata keutamaannya tetap kepada rakyat tempatan dan pendidikan diberikan supaya kanak-kanak berkenaan dapat hidup dengan lebih berdisiplin.
Dia turut mengakui pernah menerima kritikan kerana mengajar kanak-kanak Rohingya.
Bagaimanapun, Marina tetap percaya bahawa ilmu dapat mengawal tingkah laku dan mengurangkan gangguan terhadap komuniti setempat.
Persoal tindakan selepas penahanan

Dalam perkongsian sama, Marina mempersoalkan sama ada tindakan menangkap warga Rohingya secara besar-besaran benar-benar mampu menyelesaikan masalah.
Kita harini nak desak tangkap orang Rohingya..ok lah.. katakan kerajaan tangkap mereka ramai-ramai. Lepastu? Letak mana? Siapa tanggung kos? Dah tangkap, nak buat apa? Nak hantar balik ke negara asal. Tak boleh. Nanti negara kita pula akan dituduh dunia menjalankan penindasan ke atas pelarian. Ni semua akan bagi kesan pada negara.
Menurutnya, penahanan akan menimbulkan persoalan lain termasuk lokasi penempatan, kos pengurusan dan tindakan susulan terhadap mereka.
Marina berkata penghantaran pulang ke negara asal juga bukan sesuatu yang mudah kerana ia boleh memberikan kesan kepada imej Malaysia yang akan dituduh melakukan penindasan.
Pada pandangannya, beberapa cadangan yang kedengaran mudah sebenarnya belum tentu menjadi penyelesaian sebenar.
Marina turut mendakwa pihak berkuasa berdepan kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap pemegang kad UNHCR.
Dia juga membangkitkan persoalan mengenai kesahihan kad tersebut serta mendakwa pernah bertanya kepada seorang anggota pihak berkuasa sama ada kad yang diperiksa itu asli atau palsu.
Katanya, isu Rohingya pernah dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri dan mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, namun jawapan diterima didakwa masih belum menjawab persoalan sebenar.
Desak kerajaan dedahkan data terperinci

Marina kemudian menggesa kerajaan menyediakan data lebih terperinci mengenai jumlah penduduk Rohingya mengikut daerah dan negeri.
Dia juga mempersoalkan jumlah sebenar pelarian yang berada di Malaysia, termasuk mereka yang dipercayai masuk melalui saluran tidak sah.
Menurutnya, kerajaan perlu menjalankan siasatan khas mengenai kemasukan warga Rohingya, termasuk dakwaan bayaran kepada ejen dan kemungkinan kewujudan sindiket.
Marina turut membangkitkan persoalan mengenai kawalan sempadan, perairan negara serta dakwaan penjualan kad UNHCR.
Selain kerajaan, Marina turut meminta UNHCR menjelaskan kaedah pengurusan pelarian Rohingya di Malaysia.
Dia berkata proses pemindahan ke negara ketiga boleh mengambil masa yang lama sehingga terdapat pelarian yang menunggu bertahun-tahun tanpa kepastian.
Marina turut menafikan dakwaan bahawa semua pelarian menerima elaun bulanan secara berterusan daripada UNHCR.
Pada akhirnya, dia mahu kerajaan bertindak lebih tegas dan telus, termasuk menyiasat mana-mana penguat kuasa yang didakwa tidak amanah atau bersekongkol dengan sindiket.
Pssttt! Isu Rohingya bukan perkara yang boleh diselesaikan dengan kemarahan atau tindakan tergesa-gesa. Kebimbangan rakyat tempatan perlu didengar, tetapi kerajaan dan UNHCR juga perlu tampil dengan data, pelan tindakan serta penyelesaian yang jelas supaya masalah ini tidak terus berlarutan.
Kredit: Facebook Marina binti Ibrahim
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
