Oh! Tidak
Cinta Tak Berbalas Didakwa Jadi Motif Lelaki Tikam Rakan Wanita Dalam Kereta
Suspek dan mangsa bekerja sebagai ejen hartanah tetapi bukan daripada syarikat sama.
Seorang wanita yang juga ibu tunggal dua anak berdepan detik cemas selepas dipercayai ditikam oleh rakan lelakinya ketika berada di dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Titi Gajah, Kepala Batas, Alor Setar, malam tadi.
BACA: Kes Tikam Di Alor Setar: Suspek Ditahan Selepas 5 Jam, Direman 7 Hari Bantu Siasatan
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, memaklumkan motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa cemburu selepas cinta suspek tidak dibalas oleh mangsa.
Cemburu kerana cinta tidak dibalas disyaki motif kejadian

Ujar beliau lagi, mangsa merupakan wanita tempatan berusia 35 tahun dan bekerja sebagai ejen hartanah.
Mangsa ditikam menggunakan senjata tajam yang dipercayai pisau rambo atau pemutar skru ketika berada di dalam kereta jenis Mazda 3 miliknya.
Lelaki itu ditangkap dan dia mempunyai satu rekod sama dengan kes ini iaitu Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mencederakan bekas teman wanitanya pada 2017. Suspek kemudian direman tujuh hari bermula hari ini dan ujian saringan air kencing dijalankan menunjukkan dia bebas dadah.
Hasil siasatan awal mendapati lokasi kejadian mempunyai kamera rakaman litar tertutup (CCTV). Selepas ditikam, mangsa membunyikan hon kereta bagi menarik perhatian orang awam sebelum suspek melarikan diri.

Suspek dilaporkan lari ke masjid melalui kawasan sawah sebelum ditemui pihak polis ketika menyembunyikan diri.
Adzli berkata, suspek dan mangsa saling mengenali sejak setahun lalu, namun mereka tidak bekerja di syarikat hartanah yang sama.
Beliau turut memaklumkan keadaan mangsa kini stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah.
Pssttt! Apa pun masalah atau perasaan yang dipendam, keganasan bukanlah jalan penyelesaian. Rasa kecewa dalam hubungan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mencederakan orang lain. Semoga mangsa terus diberi kekuatan dan segera pulih sepenuhnya. Dalam masa sama, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya agar keadilan dapat ditegakkan.
Kredit: Berita Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Razaisyam Dan Aedy Dedah Realiti Kerja Dengan Bront Palarae Dalam Filem Tarung | Oh! Podcast Ep27
OH! MEDIA 08/05/2026 8:30 PM