Umum
Onani Ketika Puasa

Soalan:
Adakah beronani membatalkan puasa?
Jawapan:
Jumhur ulama mazhab yang empat mengatakan bahawa perbuatan beronani atau mengeluarkan mani dengan sengaja itu membatalkan puasa. Inilah juga yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah. [Lihat Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi (2/356)]
Ini adalah berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.anhu yang mana Rasulullah S.A.W bersabda bahawa Allah berfirman:
يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي
“Dia (orang yang berpuasa itu) meninggalkan makanannya, minumannya, serta syahwatnya kerana Aku.” [Riwayat al-Bukhari (1894)]
Sebagaimana makan dan minum membatalkan puasa, begitulah juga perbuatan seseorang yang mendatangi syahwatnya dengan cara beronani turut membatalkan puasa.
Demikian juga kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Sesungguhnya kami telah sebutkan bahawasanya seorang lelaki itu apabila dia mengeluarkan air mani dengan sengaja maka batallah puasanya dan tiada kaffarah ke atasnya.” [Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/342)]
Keluar Mani Secara Tidak Sengaja Membatalkan Puasa?
Dalam beberapa keadaan, boleh jadi seseorang lelaki itu keluar air maninya selain dari sebab mencium dan bermesraan dengan isteri.
Di dalam kitab al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, penulisnya menyebut tentang dua keadaan keluar air mani tetapi tidak membatalkan puasa:
1. Jika seseorang lelaki memandang, talazzuz (bersedap-sedap), lalu terkeluar air mani maka itu tidak membatalkan puasa.
2. Jika seseorang bermimpi di siang hari bulan puasa lalu terkeluar air maninya maka itu juga tidak membatalkan puasa.
Kedua-dua ini tidak membatalkan puasa kerana terpancutnya air mani itu bukan disebabkan oleh mubasyarah (dengan usaha). Inilah pendapat yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi. [Rujuk al-Majmuk Syarah al-Muhazzab (6/321)]
Wallahua’lam.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Razaisyam Dan Aedy Dedah Realiti Kerja Dengan Bront Palarae Dalam Filem Tarung | Oh! Podcast Ep27
OH! MEDIA 08/05/2026 8:30 PM