Trending
Zarina Zainuddin Kongsi Pengalaman Hidup Bermadu, Kenang Detik Perkenalan Dengan Suami
Pelakon terkenal, Zarina Zainuddin, baru-baru ini menceritakan detik awal perkenalannya dengan suaminya, Datuk Seri Raihan Wan Jaafar, serta pengalaman hidup bermadu dalam satu temu bual bersama podcast Sinar.
Zarina, atau nama penuhnya Nur Zarina Mohd Zainuddin, 53, mendedahkan bahawa pada awalnya, dia keberatan menerima lamaran suaminya kerana sedar lelaki tersebut sudah berstatus suami orang.
Masa saya jumpa dengan suami, dia ajak kahwin tapi saya tolak sebab dia suami orang. Saya cakap saya tak nak kahwin dengan suami orang. Dia orang yang baik, dia cakap dekat saya ‘abang nak kahwin dengan Ina sebab abang nak orang hormat Ina’.
Ayat itu telah menyentuh hati Zarina, membuatkan dia mula berfikir semula tentang lamaran tersebut.
Ayat tu buat saya betul-betul terkesan. Masa tu saya fikir juga macam mana ni, sebab dia suami orang. Mak saya tak setuju masa tu sebab dia suami orang.
Zarina mengakui, keputusan untuk meneruskan perkahwinan tidak dibuat secara mudah. Malah, ibunya juga pada awalnya menentang kerana tidak mahu anaknya berkahwin dengan suami orang.
Namun, selepas melakukan solat istikharah, Zarina yakin dengan keputusannya dan bersedia untuk bertemu dengan isteri pertama suaminya, Datin Seri Noorhasimah Mohd Noor.
Saya cakap, kalau abang betul-betul ikhlas, bawa saya jumpa isteri pertama. Esoknya, dia terus bawa saya berjumpa. Saya jumpa anak-anak dia yang masih kecil, dan saya terfikir, boleh ke saya ambil suami orang?
Walaupun perasaannya bercampur-baur, dia akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan perkahwinan tersebut selepas mendapat keizinan madunya.
Masa tu hati saya pun berbolak-balik. Saya sebak sampai saya cakap, kalau ada lelaki lain yang baik, saya akan cari orang lain.
Pada awalnya, madu saya kurang setuju. Dia tanya, ‘Kenapa pilih suami saya? Sebab dia kaya?’
Saya jawab, saya pernah kenal orang lebih kaya, tapi tak pernah jumpa orang yang berjiwa besar dan sudi ambil saya sebagai isteri.
Selepas tiga hari pertemuan itu, madunya menghubungi ibu Zarina, memberi keizinan untuk mereka berkahwin dengan syarat Zarina menjaga maruah keluarganya. Zarina berjanji akan memegang amanah itu dengan baik.
Lepas tiga hari tu, madu saya telefon mak saya beritahu yang dia setuju. Dia izinkan tapi dia minta saya jaga maruah dia, sebab dia pun ada keluarga. Sebab itu lah, sampai sekarang saya pegang amanah tu. Saya faham, saya pun tumpang kasih sayang orang.
Zarina menggambarkan suami dan madunya sebagai insan yang sangat baik, yang banyak membantu dalam hidupnya, termasuk dalam hal perniagaan.


