
Trending
Viral Pak Cik Angkut Barang Macam ‘Lori’ Guna Axia, Netizen Bongkar Kisah Sebenar
Baru-baru ini, tular satu video menunjukkan sebuah Perodua Axia diperlakukan macam ‘lori’ apabila dimuatkan pelbagai barang termasuk atas bumbung dan sisi kenderaan.
Kejadian ini nyata menarik perhatian ramai netizen dan mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.
Netizen dakwa sudah beberapa kali viral, guna kereta pelanggan bengkel
Menerusi video tersebut, ramai yang meluahkan rasa risau melihat keadaan kenderaan itu yang dilihat boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
Ada yang mengatakan pemandu berkenaan mungkin sedang dalam proses berpindah dan memilih untuk berjimat dengan mengangkut barang sendiri, tanpa menyewa lori.
Terbaru, seorang pengguna TikTok dikenali sebagai MiniKeychain mendakwa mengenali pak cik berkenaan.

Menurutnya, pakcik itu sebenarnya mempunyai bengkel kereta dan dia sering menggunakan kereta pelanggan yang dihantar untuk dibaiki sebagai ‘kenderaan angkut’ barang-barangnya.
Difahamkan, bengkel pakcik tersebut terletak berhampiran kawasan perumahannya dan kejadian ini bukanlah kali pertama berlaku.
Malah, sudah beberapa kali dia menggunakan kereta berlainan termasuk kereta jenama mewah untuk tujuan yang sama sehingga pernah menyebabkan kemalangan.
Netizen risau, seru keluarga pantau keadaan
Ada juga yang meluahkan kebimbangan tentang kemungkinan pakcik ini mengalami masalah mental berdasarkan cara tindakannya yang berulang kali menimbulkan risiko keselamatan jalan raya.
Tak pasti laa, ada yang kata ada masalah mental. Wallahualam, cuma risau kat pengguna jalan raya yang lain. Ingat lepas accident pakai Viva dah tak buat lagi. Ni viral lagi, hmm kesian kat pakcik ni.
Lebih menyedihkan, pemilik asal kereta yang digunakan juga turut menjadi mangsa keadaan apabila kenderaan mereka disalah guna tanpa kebenaran untuk tujuan yang tidak selamat.

Jelas sekali, isu ini bukan sahaja soal tindakan pelik pakcik tersebut, tetapi juga melibatkan keselamatan awam dan hak pemilik kenderaan yang tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap kereta mereka.
