Trending
Tun Dr Mahathir Dimasukkan Ke IJN Untuk Pemerhatian Selepas Pemergian Tun Dr Siti Hasmah
Tun Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemerhatian selepas pemergian Tun Dr Siti Hasmah. Keadaannya dilaporkan baik dan tidak membimbangkan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam untuk menjalani pemerhatian.
Menurut laporan Kosmo, perkara itu dimaklumkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, yang berkata keadaan bapanya ketika ini adalah baik dan tidak membimbangkan.
Tun Dr Mahathir dibawa ke IJN untuk pemerhatian

Menurut Mokhzani, keputusan membawa Dr Mahathir ke IJN dibuat bagi membolehkan beliau mendapat perhatian selepas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Beliau dimasukkan ke IJN untuk pemerhatian. Dua hari lepas sangat menekan Tun M. Buat masa ini, beliau okey dan tidak dalam keadaan yang merisaukan,” katanya ketika dihubungi.
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di IJN pada 28 September lalu, pada usia 100 tahun.
Jenazah beliau kemudiannya dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, dengan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Mokhzani sebelum ini turut berkongsi bahawa keluarganya terkejut dengan pemergian Allahyarham kerana beliau kelihatan ceria ketika menerima rawatan di IJN sehari sebelumnya.
70 tahun bersama

Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah mendirikan rumah tangga pada 1956 dan melalui kehidupan bersama selama kira-kira tujuh dekad.
Pasangan itu dikurniakan tujuh orang anak dan hubungan mereka sering menjadi perhatian kerana kekal bersama melalui pelbagai fasa kehidupan, termasuk ketika Dr Mahathir memimpin negara.
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah kini meninggalkan kesan besar buat keluarga, termasuk Tun Dr Mahathir yang kehilangan teman hidupnya sejak zaman mereka masih menuntut dalam bidang perubatan.
