Dalam kegembiraan bergelar raja sehari, seorang kelindan lori ditahan sebaik selesai akad nikah di Pejabat Agama Daerah Kemaman untuk membantu siasatan kes samun bersenjata.
Lapor Harian Metro, suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah hari Isnin dan dikenakan tindakan reman selama tujuh hari sehingga 20 Disember ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, suspek mengaku melakukan jenayah tersebut bersama dua lagi rakan yang terlebih dahulu didakwa di mahkamah pada 22 November lalu.
Pengantin baru itu turut memiliki satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dua kes Seksyen 15 (1) ADB 1952.
Pada 21 September yang lalu, suspek dan dua rakan dipercayai melakukan jenayah samun berkumpulan dan bersenjata di rumah sarang burung terletak di Mukim Mak Lagam.
Mangsa yang sedang bekerja di rumah sarang burung itu mendakwa didatangi empat lelaki. Salah seorang daripada memiliki senjata api.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.