Anak bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu iaitu Ahmad Saiful Islam kekal dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan penyalahgunaan dadah tiga tahun lalu.
Tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Kamaludin Md Said menolak hujah pihak perayu (pendakwaan) bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tersalah arah dari segi fakta dan undang-undang ketika membuat keputusan membebaskan responden sebelum ini.
Mahkamah juga berpuas hati bahawa hakim berkenaan mempertimbangkan keterangan secara keseluruhan. Oleh itu, rayuan pendakwaan ditolak dan keputusan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang dibuat Mahkamah Majistret pada 24 Jun 2020.
Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu ketika prosiding yang berlangsung pada 27 Oktober tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika membuat keputusan itu berkata, pengambilan hanya satu botol air kencing membuka kemungkinan berlakunya pencemaran. Ini kerana sampel sama digunakan oleh polis untuk ujian saringan dan ahli kimia untuk ujian pengesahan.
Hakim mendapati polis gagal mematuhi garis panduan apabila tidak mengambil dua botol sampel air kencing menyebabkan sabitan itu cacat.