Sambutan Syawal kali ini pastinya penuh warna buat pencipta kandungan masakan, Kakcik Yah yang kini semakin dikenali ramai di TikTok. Pada usia 75 tahun, beliau masih aktif berkongsi video masakan dan reviu makanan yang berjaya menambat hati lebih 400,000 pengikut.
Tahun ini, suasana raya di rumah kecil Kakcik Yah di Kampung Melayu, Pulau Pinang, menjadi lebih meriah apabila anak-anak dan tujuh cucu kesayangannya pulang berkumpul bersama.
Kali pertama anak cucu beraya di rumahnya…
Menurutnya, ini kali pertama mereka semua beraya di rumahnya berbanding kebiasaannya di kampung halaman di Kedah.
Tahun ni tak balik kampung beraya di Kedah sebab anak-anak semua berkumpul di rumah. Seronok sangat apabila rumah jadi meriah dengan cucu-cucu.
Lebih istimewa, beliau turut menerima tajaan istimewa daripada syarikat makanan sejuk beku, PakMatWestern berupa sepasang baju raya ungu muda bernilai RM500 serta beg galas berjenama Bonia.
Pendapatan hasil reviu serta sokongan peminat juga membolehkan Kakcik Yah menyediakan persiapan raya dengan lebih sempurna.
Antara menu kegemaran yang disediakan untuk keluarga dan tetamu ialah nasi tomato, ayam masak merah, rendang dan ketupat. Walaupun sibuk, beliau masih sempat menyediakan dua jenis kuih raya sendiri.
Setiap tahun saya buat sendiri kuih raya, tapi tahun ni tak sempat sebab semakin sibuk. Jadi saya beli saja kebanyakan kuih raya. Walapun dalam kesibukan sekarang, saya sempat juga buat kuih mazola dan makmur.
Kakcik Yah dapat tukar langsir dan banyak persiapan raya baru hasil jadi content creator…
Menurut Kakcik Yah, dia juga telah menukar langsir dan bekas kuih raya baharu, sebagai simbol semangat dan kesyukuran menyambut Syawal. Rumahnya juga terbuka menerima kunjungan peminat yang ingin beraya bersama.
Ada yang tanya kebenaran nak datang beraya ke rumah saya. Tak ada masalah pun nak beraya, saya alu-alukan kedatangan.
Meskipun ruang rumahnya kecil, semangat besar Kakcik Yah dalam meraikan tetamu sangat mengagumkan. Beliau juga berhasrat meneruskan perkongsian resepi dan menerima undangan reviu kedai makan, seperti yang biasa dilakukannya.
Sejak muda lagi saya memang ramai kawan, sekarang apabila dah dikenali ramai jadi makin seronok. Saya akan teruskan buat content memasak sebab peminat pun suka.
Bagi Kakcik Yah, dunia digital telah membuka ruang baru dalam hidupnya dan membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus memberi inspirasi.
#ApaKataOhmedia
Kisah Kakcik Yah menjadi bukti bahawa umur bukan penghalang untuk berjaya dalam dunia digital. Dengan semangat yang kuat dan sokongan keluarga serta peminat, beliau berjaya mengubah kehidupannya.
Apa pun latar belakang kita, jika ada usaha dan keikhlasan, rezeki akan datang dalam pelbagai bentuk.