Penceramah dan pakar motivasi terkenal, Datuk Azizan Osman hari ini mengesahkan bahawa dia dan 31 ahli keluarganya yang lain telah dijangkiti wabak COVID-19 selepas mempunyai kontak rapat dengan seorang pesakit yang sama pada 7 Januari yang lalu.
Datuk Azizan tampil mengumumkan mengenai perkara itu menerusi akaun Facebook untuk pengetahuan pengikut media sosialnya.
Yang lebih menyayat hati, ibu mentuanya turut meninggal dunia akibat wabak pandemik COVID-19 ini.
Menulis panjang lebar di ruangan Facebooknya, Azizan Osman berkata kejadian yang menimpa diri dan keluarganya itu merupakan sesuatu yang sangat berat untuk ditanggung.
Turut menceritakan bagaimana saat-saat dia jatuh sakit dan dimaklumkan doktor bahawa harapannya untuk terus hidup adalah sangat tipis, pengasas syarikat RichWorks International merasa bertuah kerana merasakan Allah masih menyayangi dirinya.
COVID-19 hampir meragut nyawa saya! 1.44 petang, Jumaat 15 Januari- saya dah hampir maut! Nafas saya sesak! Doktor kata peluang saya amat tipis. Tetapi sesuatu berlaku yang membuktikan kekuasaaan Allah SWT. Saya dan keluarga diuji dengan virus COVID-19. 31 ahli keluarga saya dijangkiti COVID-19 dan ibu mentua saya telah kembali ke rahmatullah.
Meskipun dilanda ujian yang cukup berat, Azizan Osman meluahkan rasa kesyukuran kerana mendapat sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan yang menjadikannya lebih tabah menghadapi dugaan ini.
Menganggap nikmat kehidupan selepas dijangkiti COVID-19 sebagai peluang kedua, Azizan Osman berkata bahawa dia akan membetulkan segala kesilapan yang pernah dilakukannya dan menjadi mentor yang lebih baik untuk anak-anak didiknya.
Saya percaya ada sebab Allah bagi peluang ini untuk saya buat segalanya dengan lebih baik, dan menjadi mentor yang lebih baik.
Difahamkan, keadaan pakar motivasi itu kini sudah pun sembuh daripada wabak pembunuh itu. Syafakallah diucapkan buat Datuk Azizan dan keluarga.
Kredit: Instagram
+ Baca respon pembaca di Facebook Oh! Media