Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi, semalam telah hadir ke IPD Brickfields Kuala Lumpur untuk buat laporan polis secara besar-besaran berhubung isu persendakan Islam dan penutupan kelab komedi di TTDI.
Turut hadir menunjukkan sokongan dan menyuarakan kekesalan atas insiden penghinaan yang tercetus adalah pelawak Shahrol Shiro dan pengarah terkenal, Syamsul Yusof.
Jelas dengan bukti dan fakta
Menurut Syamsul, selepas jelas dengan keadaan sebenar beserta bukti dan fakta, beliau setuju kelab komedi itu ditutup. Pengarah ini turut memberi amaran supaya jangan sesekali terfikir untuk menghina agama Islam.
Di ruangan komen, orang ramai turut menyatakan sokongan mereka dan berharap tindakan tegas diambil pihak berkuasa. Ini berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial memperlihatkan ada pelawak lain turut memainkan sensitiviti agama ketika membuat persembahan.
Terdahulu, kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) digantung operasi buat sementara waktu selepas tular insiden membabitkan pelawak wanita didakwa menghina agama Islam.
Pergantungan sementara premis itu dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 Julai lalu.
Notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 101(1)(V) Akta Kerajaan Tempatan 1976. Premis digantung operasi kerana tak ada lesen hiburan selaras dengan Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.