Trending
DAFC Nafi Dakwaan Korean Wings Ada Ulat, Jelaskan Objek Itu Hanya Biji Bijan
DAFC buat laporan polis bagi tujuan rekod dan siasatan lanjut.
Baru-baru ini, tular di media sosial video mendakwa ayam yang dibeli dari D’Apple Fried Chicken outlet Airport Kota Bharu mengandungi ulat.
Dalam video itu, kelihatan objek berwarna putih dan ayam dikatakan berlendir. Tidak berdiam diri, pihak pengurusan D’Apple Fried Chicken tampil memberi penjelasan.
DAFC nafi ayam ada ulat
Menerusi kenyataan rasmi di Facebook D’Apple Fried Chicken – HQ, pihak DAFC memaklumkan mereka telah menjalankan semakan dan siasatan dalaman secara menyeluruh.
Hasil semakan yang dijalankan mendapati objek yang didakwa sebagai ulat itu mempunyai ciri yang konsisten dengan biji bijan.

Jelas DAFC, biji bijan sememangnya digunakan sebagai sebahagian daripada ramuan menu Korean Wings mereka.
Dalam kenyataan sama, pihak DAFC turut menjelaskan dakwaan mengenai keadaan yang dikatakan berlendir pada produk tersebut.
Menurut DAFC, keadaan yang didakwa sebagai ‘berlendir’ itu sebenarnya merupakan lapisan sos Korean yang digunakan pada menu berkenaan.
Sos Korean itu juga dijelaskan mempunyai tekstur pekat dan melekat sebagai sebahagian daripada ciri produk tersebut. DAFC turut memaklumkan bahawa setakat siasatan dijalankan, pihak mereka tidak menemui sebarang bukti yang mengesahkan dakwaan bahawa produk tersebut mengandungi ulat seperti yang ditularkan.
Kedai beroperasi ikut SOP
Untuk makluman, pihak DAFC berkata outlet DAFC Airport Kota Bharu beroperasi mengikut prosedur operasi standard atau SOP yang ketat serta kawalan keselamatan makanan yang tinggi.
DAFC menjelaskan proses penyimpanan bahan mentah, penyediaan makanan, pengendalian produk dan kebersihan premis sentiasa dipantau.

Perkara itu dilakukan bagi memastikan standard kualiti serta keselamatan makanan berada pada tahap terbaik.
Dalam masa sama, DAFC berkata pihak mereka juga telah berusaha menangani isu itu secara baik dan profesional.
Ini termasuk menghubungi pengadu secara langsung bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta mencari penyelesaian secara baik.
Walau bagaimanapun, pihak DAFC memaklumkan dakwaan tersebut telah tersebar secara meluas sehingga memberi kesan kepada reputasi syarikat.
Malah, perkara itu turut memberi kesan kepada kakitangan, rakan niaga serta ahli keluarga yang tidak mempunyai kaitan dengan isu berkenaan.
DAFC turut mengalu-alukan mana-mana agensi kerajaan, pihak berkuasa atau badan berkaitan untuk menjalankan pemeriksaan dan penilaian di premis mereka pada bila-bila masa.
Pssttt! Isu keselamatan makanan memang wajar diambil serius kerana ia melibatkan keyakinan pelanggan terhadap sesuatu jenama. Namun, dalam masa sama, setiap dakwaan yang tular juga perlu disemak dengan teliti supaya tidak memberi kesan besar kepada pihak yang belum terbukti bersalah.
Semoga siasatan lanjut dapat menjelaskan perkara sebenar dan menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu dakwaan di media sosial.
Kredit: Thread @meliso
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.