Trending
11 Iklan Merdeka Wajib Tonton 2021. Terbaik!
Oleh
Setiap kali menjelangnya ulang tahun Hari Kemerdekaan negara, antara yang dinanti-nantikan adalah iklan bertemakan Hari Kebangsaan. Bermacam idea kreatif yang menyentuh emosi, memberi inspirasi, menyemai semangat patriotik dan pelbagai lagi mesej yang disampaikan. Ini iklan merdeka korang wajib tonton tahun 2021:
Digi
Mengambil perspektif anak-anak yang turut terkesan dengan impak Covid-19, iklan Digi antara yang berjaya menggenangkan air mata netizen tahun ini. Walaupun diuji dengan hebat, diharapkan pandemik ini akan mengajar anak-anak di masa depan untuk menjadi insan lebih kuat dan tabah.
Tenaga Nasional Berhad
Kisah inspirasi 4 rakyat Malaysia yang berjiwa besar, berazam tinggi dan baik hati. Semoga usaha tenaga positif mereka akan memberikan inspirasi buat kita untuk terus berdaya usaha dalam menjalani kehidupan. Semuanya dengan matlamat menjadikan hidup yang lain lebih baik hari demi hari.
Wonda
Perbezaan tidak semestinya memecahbelahkan kita, tapi menyatukan antara satu sama lain. Simbolik perbezaan ditunjukkan dengan mug dan cawan berwarna-warni. Moralnya, setiap warna ada keindahan tersendiri, namun apa yang lebih penting adalah isi hati nurani yang perlu sentiasa suci murni.
Watsons
Pandemik melanda memberi ujian besar kepada rakyat Malaysia. Bagaimanapun, setiap seorang daripada kita terus menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Peribahasa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh menjadi contoh paling tepat untuk situasi ini.
EcoWorld
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 diumumkan, Nurul Atikah baru saja habis berpantang selepas melahirkan anak sulungnya. Pengumuman itu membuatkan dia dan suami terduduk. Kehidupan perlu diteruskan, kegigihan membina perniagaan menjual makanan ketika pandemik pernah dipersoal. Namun, baginya, putus asa bukanlah pilihan ketika ini.
Gamuda Land
Sekian lama berada dalam rumah demi kesihatan dan keselamatan sendiri, kadang-kadang untuk ‘tidak okay’ dari segi mental dan fizikal adalah normal. Hampir tiada interaksi sosial bersemuka, semuanya kerana Covid-19. Tema ini dibawa Gamuda Land dengan semangat untuk setiap dari kita menjaga satu sama lain walau apa jua keadaan.
Axiata Group
Kesucian hati dan sentiasa meletakkan orang lain sebagai keutamaan, semangat kebergantungan itulah yang menyatukan rakyat Malaysia dalam kepayahan ujian ini. Sumbangan wang ringgit, tenaga dan kasih sayang disalurkan sebagai solidariti rakyat berbilang bangsa yang hidup dalam aman damai, membentuk Malaysia yang kita ingin wariskan kepada anak-anak.
Maxis
Di sebalik seorang hero yang memacu perubahan, ada ramai lagi hero-hero tidak didendang di belakangnya. Setiap rakyat Malaysia yang menyokong juga adalah hero yang patut sama-sama kita raikan. Bila kita menyokong hero-hero ini, kita semua pasti mengecap kemenangan!
BABA’S Malaysia
Walau apa juga yang berlaku, kita lalui segalanya bersama. Kita hadapi segala rintangan dan cabaran dengan sokongan sesama rakyat. Yang mana memerlukan kita sama-sama bantu. Semuanya demi mewujudkan Malaysia yang lebih baik. Begitulah mesej dalam iklan BABA’S Malaysia. Ringkas tapi penuh makna.
Farm Fresh
Pernah tak terfikir apa yang jadi jika kita masih dijajah? Masih tidak merdeka memerintah negara sendiri? Farm Fresh bawakan apa sebenarnya erti merdeka yang perlu kita hayati. Merdeka bermaksud perpaduan, kekuatan untuk berjuang dan juga simbol bagaimana datuk nenek moyang kita berganding bahu demi memperjuang negara yang bebas tanpa pengaruh mana-mana kuasa asing.
Etiqa
Kehidupan berjiran Aunty Chen, Ali dan Abang Chandran digegarkan dengan bunyi kuat di taman mereka. Dari mana datangnya bunyi tu? Apa puncanya? Bagaimana pun reaksi jiran-jiran tersebut untuk kenal pasti punca bunyi berkenaan. Yang pasti, kenalah tonton sendiri iklan Merdeka Etiqa ini.
Faris merupakan penulis editorial sepenuh masa di Oh! Media, yang mengkhususkan dalam menghasilkan artikel-artikel berkaitan pemasaran. Dengan tumpuan penuh pada strategi dan tren terkini, Faris memastikan setiap kandungan memberikan nilai tambah kepada pembaca dan rakan industri.