
Oh! Tidak
Pesan Makanan Sama Tapi Harga Berbeza? Restoran Di Bandar Sri Permaisuri Diserbu KPDN
Sebuah restoran di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, menjadi tumpuan selepas tular di media sosial mengenai dua resit nasi goreng sardin dengan harga berbeza.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertindak pantas dengan memberi notis kepada restoran tersebut untuk menjelaskan isu yang timbul.
Sebelum ni harga RM7.80 lepas tu jadi RM9.30 pula…
Menurut kenyataan KPDN Kuala Lumpur, sepasukan anggota dihantar untuk menyiasat dakwaan tersebut. Mereka telah bertemu dengan penyelia restoran dan memeriksa tanda harga dalam menu.
Hasil pemeriksaan mendapati harga nasi goreng sardin adalah RM9, dan caj 30 sen dikenakan untuk bungkusan, yang dinyatakan dengan jelas dalam menu.
Menerusi pemeriksaan tanda harga pada buku menu di restoran itu mendapati harga nasi goreng sardin adalah RM9, manakala caj 30 sen bagi bungkusan dinyatakan dengan jelas dalam menu untuk makluman pelanggan.- Kata KPDN.
Bagaimanapun, bagi pelanggan yang makan di restoran, tiada caj tambahan dikenakan kecuali harga makanan dan tambahan cukai SST sebanyak enam peratus.

Amaran keras dikeluarkan dan pihak restoran buat permohonan maaf…
KPDN juga mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk mendapatkan justifikasi perbezaan harga yang dilaporkan. Kedua-dua resit tersebut telah diserahkan kepada penyelia restoran untuk tindakan lanjut.
Pihak restoran diberi amaran keras supaya sentiasa mengemas kini tanda harga agar pelanggan tidak keliru, mematuhi undang-undang, dan tidak mengulangi kesilapan dilakukan.

Restoran berkenaan juga telah memohon maaf atas isu tersebut dan bersedia untuk menghubungi pengadu bagi memberikan penjelasan. Mereka juga bersetuju untuk mengambil langkah pembetulan bagi mengelakkan perkara sama berulang.
KPDN mengingatkan orang ramai bahawa sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan kepada mereka untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, hantaran mengenai dua resit nasi goreng sardin yang menunjukkan harga berbeza telah tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Jap!
Baca dulu respon netizen di Facebook & Telegram.
Rujukan kami: Buletin TV3
