Connect with us

Oh! Media

Pemandu Remaja Didakwa Memandu Secara Berbahaya Hingga Ragut 3 Nyawa Di Senawang

Oh! Tidak

Pemandu Remaja Didakwa Memandu Secara Berbahaya Hingga Ragut 3 Nyawa Di Senawang

Tragedi yang meragut tiga nyawa di Senawang pada awal Mac lalu kini memasuki fasa perundangan apabila remaja lelaki berusia 17 tahun yang memandu kenderaan dalam kejadian tersebut didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

Remaja yang memandu sebuah Honda Jazz itu didakwa atas dua pertuduhan serius iaitu memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dan memandu tanpa lesen yang sah.

IKLAN

Menurut pertuduhan, tertuduh memandu secara berbahaya di Jalan Persiaran Senawang 1, berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Heights, hingga menyebabkan kematian tiga remaja iaitu Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.

Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Tiada lesen memandu, boleh dikenakan hukuman tambahan…

kemalangan

Selain itu, remaja terbabit juga didakwa di bawah Seksyen 26(1) akta sama kerana memandu tanpa lesen, yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan ketika dibacakan di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd. Talhah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,300 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan untuk melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan. Sebutan semula kes telah ditetapkan pada 21 Mei depan.

Kes ini menarik perhatian ramai kerana membabitkan nyawa dan isu tanggungjawab pengguna jalan raya, khususnya dalam kalangan pemandu bawah umur.

Pssttt! Kes seperti ini perlu menjadi pengajaran besar buat ibu bapa dan masyarakat. Pastikan anak-anak yang belum cukup umur tidak memandu kenderaan di jalan raya. Satu kesilapan boleh meragut nyawa orang lain dan menghancurkan masa depan sendiri. Sayangi nyawa, patuhi undang-undang.

Kredit: Kosmo
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.

Kongsikan artikel ini:

Lagi dalam kategori Oh! Tidak

Oh! Podcast

Tonton di YouTube

Popular Bulan Ini

Ke Atas