Di sebuah sekolah menengah di Kangar Perlis, seorang pelajar tingkatan dua dilaporkan cedera selepas terjatuh dari bumbung tingkat satu bangunan sekolah.
Memetik laporan Buletin TV3, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi selepas pelajar itu khayal akibat menghisap vape yang dibawanya ke sekolah.
Vape punca pelajar jadi khayal dan terjatuh
Menurut Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Ariffin, pelajar tersebut mengaku menghisap vape dalam kelas ketika hujung waktu rehat.
Tindakannya itu menyebabkan dia berasa khayal dan cuba turun melalui bumbung bangunan. Malangnya, akibat pengaruh khayal itu, dia hilang kawalan dan terjatuh hingga mengalami luka ringan pada kaki.
Selepas terjatuh dari bumbung, pelajar itu meracau menyebabkan pihak sekolah terpaksa menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Pelajar tersebut kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kangar dan menjalani ujian air kencing yang didapati negatif. Kini, pelajar itu dalam keadaan stabil dan telah dijemput pulang oleh keluarganya.
Pihak sekolah dan polis mulakan siasatan
Kini pihak sekolah sedang bekerjasama dengan polis untuk menyiasat kes ini dengan lebih mendalam. Sekolah juga diminta untuk mencari punca bekalan vape yang diperoleh oleh pelajar serta melakukan ‘follow-up’ terhadap ujian air kencing untuk memastikan kesihatan pelajar tersebut.
Kita turut bekerjsama dengan polis dan sudah mendapat pengesahan kejadian dan kita akan membantu pihak sekolah menyediakan laporan awal serta tindakan yang akan diambil Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) berhubung kes vape ini dan mangsa juga akan terus dibantu bagi memastikan pelajar ini pulih semula.
Sumber berkata, vape yang digunakan pelajar tersebut adalah jenis ‘flavour mushroom’ yang kini menjadi trend di kalangan pelajar sekolah.
Perkara ini menimbulkan kebimbangan kerana vape sebegini dipercayai boleh memberi kesan khayal kepada pengguna, khususnya remaja.