Seorang lelaki yang pada awalnya mengalami sakit gigi biasa akhirnya kehilangan nyawa selepas jangkitan bakteria merebak ke seluruh tubuhnya.
Kisah ini menjadi tular selepas isterinya berkongsi kronologi kejadian yang menimpa suaminya di TikTok.
Ingatkan sakit biasa, suami tampal koyo di leher
Pada mulanya, lelaki tersebut merasakan lehernya sedikit bengkak ketika pergi bekerja. Disebabkan kesakitan yang dirasakannya, dia sempat menghantar gambar kepada isterinya dan mereka menyangka ia hanya masalah gigi biasa.
Untuk meredakan bengkak tersebut, dia menampal ‘koyo’ di pipi dan berharap kesakitan itu akan reda.
Namun, bengkak tidak juga surut dan semakin membesar. Isterinya yang terkejut dengan perubahan mendadak itu segera melakukan panggilan video dan mendapati suaminya mengalami pembengkakan luar biasa.
Mereka mula mengesyaki ianya penyakit beguk memandangkan waktu itu ramai yang mengalami penyakit tersebut.
Dibawa ke hospital, tetapi disangka beguk
Keesokan harinya, bengkak yang dialami lelaki tersebut semakin teruk sehingga menyebabkan kesukaran untuk makan, minum, dan bernafas.
Dia segera dikejarkan ke Jabatan Kecemasan untuk mendapatkan rawatan. Namun, doktor yang bertugas di bahagian kecemasan mendakwa ia hanya beguk dan menyuruhnya pulang selepas diberikan rawatan.
Tetapi, sakit masih tidak berkurang sehingga lelaki berkenaan sukar untuk menelan makanan. Malah, setiap kali cuba menelan, dia akan muntah kerana kesakitan yang teramat sangat.
Suami ke hospital kali kedua, perlu dibedah segera kerana jangkitan nanah
Keadaan suaminya yang semakin meruncing membuatkan isterinya mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital buat kali kedua.
Kali ini, doktor yang bertugas melakukan pemeriksaan lebih terperinci dan mendapati ada gigi bernanah yang menyebabkan jangkitan serius hingga nanah mula mengalir ke bahagian leher dan bahu!
Doktor segera mengarahkan pembedahan dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan jangkitan semakin serius.
Koma selepas pembedahan, meninggal dunia hari ke-4 di ICU
Setelah menjalani pembedahan, suaminya terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami kesukaran bernafas.
Pada hari pertama dan kedua di ICU, dia masih berkomunikasi dan menggunakan telefon m
Namun, keadaan berubah pada hari ketiga apabila doktor terpaksa memberikan ubat penenang kerana pesakit terlalu gelisah. Pada hari keempat, apabila ubat dihentikan, dia tidak sedarkan diri dan akhirnya koma sebelum menghembuskan nafas terakhir di depan isterinya.
Tangisan pilu menyelubungi hospital ketika isterinya menyaksikan suaminya pergi meninggalkan dirinya dan dua anak kecil tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal.
#ApaKataOhmedia
Jangan ambil mudah masalah sakit gigi, segera dapatkan rawatan doktor untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. Semoga isteri tabah dengan kehilangan paling berat ini.