Oh! Podcast
Lagenda Hidup Amri Yahyah, Dedah Pengalaman Pahit Manis Sebagai Pemain Bola Sepak
Nama itu disebut-sebut di setiap pelosok stadium, dari bangku penonton hingga ke ruang bilik persalinan — Amri Yahyah, legenda hidup bola sepak Malaysia. Anak jati Selangor ini bukan sekadar seorang pemain, tetapi simbol semangat, dedikasi dan ketahanan seorang wira sukan.
Masih segar dalam ingatan ramai, hari di mana Amri berdiri megah di tengah padang, menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United. Dalam perlawanan persahabatan yang dilangsungkan penuh gemuruh di Stadium Bukit Jalil, dua gol yang dijaringkannya bukan sekadar mencetuskan sorakan, tetapi membakar semangat seluruh negara. Detik itu menjadi catatan emas — bukan hanya untuknya, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.
Namun di sebalik sorakan dan lampu limpah, tersembunyi kisah seorang insan biasa yang menempuh jalan luar biasa.
Dalam sebuah episod Oh! Podcast kali ini, Amri membuka kembali lembaran hidupnya. Berkongsi cerita dan pengalaman dari sudut kerjaya profesionalnya bermula bersama pasukan Selangor, di mana bakatnya mula menyerlah. Dari situ, langkahnya tidak pernah terhenti. Pindah ke Johor Darul Ta’zim (JDT), Amri bukan sahaja mengumpul trofi, tetapi membina reputasi sebagai pemain yang tidak mengenal erti penat.
Amri juga mengimbau saat-saat getir — kecederaan yang hampir menamatkan kerjayanya, tekanan untuk kekal konsisten, serta cabaran mengekalkan disiplin di saat jiwa muda digoda populariti. Ada malam dia tidur bertemankan ais di lutut, ada pagi dia bangun dengan perasaan ingin menyerah.
Kini, walaupun usianya sudah mencecah 40-an, sentuhannya masih berbisa. Di atas padang atau di luar, Amri kekal sebagai inspirasi. Rahsianya? Kena dengar dengan lebih lanjut dalam episod terbaru Oh! Podcast!
[EKSKLUSIF] Ardell Mikeno Ditahan IDF, Sel 12 Penjara Syahid & Misi Sudan | Oh! Podcast Ep19
OH! MEDIA 17 hours ago