Oh! Negara
“Tindakan Segera Akan Dilaksanakan” – Polis Bakal Panggil MB Kedah Dan Ketua Penerangan UMNO Rembau
Tindakan segera akan diambil selepas pihak polis menerima beberapa laporan dikaitkan dengan MB Kedah dan Ketua Penerangan UMNO Rembau.
Menjelang hari mengundi PRN Negeri Sembilan, dua nama kini berada dalam perhatian pihak berkuasa susulan kenyataan yang dibuat sebelum ini.
Terbaru, Astro Awani melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dua laporan dikaitkan dengan MB Kedah
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berkaitan kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Pilihan Raya Pas itu.

Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut Alzafny, beberapa saksi sudah pun dirakam percakapan bagi membantu siasatan. Namun, pihaknya masih belum mengambil percakapan Datuk Seri Sanusi.
Tindakan segera akan dilaksanakan oleh pihak kita.
Selain itu, polis juga bakal menyiasat Ketua Penerangan UMNO Rembau, Shukri Shamsuddin berhubung kenyataan mengaitkan institusi istana dengan parti politik.
Sehingga 27 Julai, pihak polis telah menerima 11 laporan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, media melaporkan Shukri menerusi satu video tular mendakwa Istana Negeri Sembilan ‘dipegang’ oleh parti DAP.
Susulan dakwaan itu, Istana Negeri Sembilan menegaskan sebarang dakwaan yang mengaitkan pihaknya dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar.

